USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM KAMPUS KESIHATAN DAPAT PENSIJILAN SEMULA AMALAN PERSEKITARAN BERKUALITI QE/5S

IMG 20151123 WA0004

KUBANG KERIAN, 20 November 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan telah melakar satu lagi sejarah apabila berjaya mendapat pensijilan untuk kali ketiga amalan persekitaran berkualiti 5S.

Hal ini adalah setelah Juruaudit Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Nik Faizal Bin Nik Ahmad dan Kartin Haslinda Binti Che Mat mengadakan lawatan ke Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan untuk audit pensijilan semula amalan persekitaran berkualiti 5S.

Mesyuarat Pembukaan Lawatan Audit Pensijilan Semula Amalan Persekitaran Berkualiti 5S pagi ini yang dipengerusikan oleh Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato Dr. Mafauzy Mohamed dan Timbalan Pengarah Kanan (Pentadbiran) selaku Pengerusi Amalan Persekitaran Berkualiti 5S Kampus Kesihatan, Wan Ahmad Sayuti Wan Ismail serta Ketua-ketua Zon 5S dan Ketua-ketua Jabatan USM Kampus Kesihatan.

IMG 20151123 WA0005

Menurut Mafauzy, sejajar dengan hasrat Universiti agar semua pihak berusaha mendapatkan pengiktirafan kualiti daripada pihak luar, USM Kampus Kesihatan tidak melepaskan peluang ini bagi melanjutkan Pensijilan Amalan Berkualiti 5s dalam mengekalkan usaha amalan dan pembudayaan 5S.

Tambahya, pelbagai aktiviti telah dirangka oleh Jawatankuasa Induk 5S dalam menyemarakkan aktiviti 5S seperti melaksanakan aktiviti latihan untuk warga kampus seperti kursus yang dijalankan oleh Perunding 5S yang dilantik serta latihan 5S yang dijalankan oleh jawatankuasa latihan 5S.

Program audit telah diteruskan dengan aktiviti menyemak dokumen-dokumen Jawatankuasa Induk 5S, Jawatankuasa Kerja 5S (Induk, Latihan, Promosi, Audit) diikuti empat dokumen zon yang dipilih iaitu Zon Latihan Hospital, Zon Keselamatan, Zon Kesihatan dan Zon Pembangunan. Selesai sahaja proses semakan dokumen, juruaudit diiringi ahli Jawatankuasa Kerja 5S mengadakan lawatan untuk menyemak pelaksanaan 5S di zon-zon yang telah dipilih secara rawak oleh pihak juruaudit.

Menurut Nik Faizal, USM Kampus Kesihatan layak untuk diberi pensijilan semula kerana berjaya membuktikan segala perancangan, pelaksanaan, penilaian dan penambahbaikan terhadap sistem persekitaran berkualiti sedia ada memenuhi piawaian sistem persekitaran berkualiti yang ditetapkan oleh MPC.

IMG 20151123 WA0007

“Kejayaan ini adalah hasil usaha yang tidak kenal penat, dan kerjasama erat antara warga kampus yang komited dalam memastikan sijil 5S dapat diperolehi seterusnya memanjangkan lagi tempoh Sijil 5S yang diperolehi bermula tahun 2015 sehingga 2017 nanti,” katanya.

Tambah Nik Faizal, aktiviti penanda aras daripada agensi luar ke Kampus Kesihatan USM untuk berkongsi pengalaman dalam melaksanakan Program 5S telah mengukuhkan lagi kepercayaan MPC untuk memberikan pengiktirafan pensijilan ini diteruskan.

Selain itu, aktiviti audit juga telah dilakukan secara berkala oleh Jawatankuasa Audit Dalaman, aktiviti-aktiviti lain yang dijalankan seperti gotong-royong perdana bagi membersihkan dan mencantikkan kawasan persekitaran, penerbitan poster, pamplet untuk hebahan kepada warga kampus juga menandakan USM Kampus Kesihatan begitu komited dalam melaksanakan amalan 5s.

Katanya lagi, jumlah pemarkahan pada tahun ini juga meningkat berbanding pada tahun sebelumnya.

USM juga sudah melaksanakan projek Pengurusan LEAN dan penglibatan dalam Konvensyen Kualiti untuk meningkatkan impak keberkesanan amalan 5S.

“Syabas dan tahniah diucapkan kepada seluruh warga kampus kerana komited dalam melaksanakan amalan 5S dan diharapkan ianya menjadi amalan yang berterusan,” kata Nik Faizal.

Teks: Mohamad Iqmal Mathlan

Foto: Wan Nur Fajrina Wan Azmi

  • Created on .
  • Hits: 1017

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024