SISWAZAH PUJI KELANCARAN KONVOKESYEN KE-52 USM
PULAU PINANG, 19 November 2015 - Upacara Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun ini telah memperlihatkan seramai 5,665 orang para siswazah dari Menara Ilmu tercinta ini menggenggam segulung ijazah yang diimpikan.
Menurut siswazah ijazah Doktor Perubatan Muhammad Hafeezat Ramzee Azlan, 24, selain upacara konvokesyen yang diadakan, ConvEx pada tahun ini lebih menarik dan meriah berbanding yang terdahulu.
"Saya sangat kagum dengan penganjuran pelbagai program yang dilaksanakan malahan sebagai salah seorang graduan perubatan yang bergraduasi pada kali ini, saya merasakan sistem yang diperkenalkan dari segi pengurusan majlis adalah sangat sistematik dan kemas," kata anak Pulau Pinang ini.
Tambahnya lagi, ini menunjukkan kematangan USM dalam menganjurkan sesuatu upacara yang berskala besar seperti ini dan sebagai salah seorang siswazah, saya juga berasa sangat berbangga bukan sahaja dengan pencapaian diri saya malahan universiti yang tercinta ini dan suatu hari nanti saya akan datang juga ke sini sebagai seorang alumni yang akan memberikan sumbangan kepada universiti.
Sementara itu, siswazah Sarjana Pentadbiran Awam Mohamad Elias Akbar Md Ali Elyas, 27, pula berkata, upacara konvokesyen kali ini secara keseluruhannya berjalan amat lancar dan para siswazah juga mendapat maklumat yang sewajarnya dalam hal berkaitan konvokesyen ini sekaligus memudahkan proses graduasi masing-masing.
"Tambahan pula, konvokesyen kali ini juga amat meriah apabila diserikan dengan pelbagai acara sampingan pada malam hari di ConvEx seperti jemputan artis-artis ternama dan seumpamanya untuk melakukan persembahan," tambahnya.
Jelas Elias lagi, pelbagai gerai dan kedai yang dibuka pada hari konvokesyen sememangnya sesuatu yang amat ditunggu-tunggu oleh para graduan dan juga semua pengunjung yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat pelbagai bangsa dan agama yang menikmati kemeriahan ini bersama-sama.
Bagi siswazah Sarjana Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Muhammad Ahshath A. Jamal Muhammed, 27, pengurusan serta kelancaran upacara kali ini sangat mantap dan memuaskan di samping kerjasama, layanan dan bimbingan yang diberikan kepada para graduan semasa upacara sungguh baik oleh para petugas.
Pelajar antarabangsa siswazah Sarjana Pendidikan, (Pendidikan Bahasa Inggeris/Tesol) dari Arab Saudi, Alotaibi Nasser Masoud pula berkata, sukar menggambarkan apa yang dirasainya ketika berada dalam upacara yang gilang-gemilang ini apabila seluruh dewan diselubungi dengan perasaan kegembiraan, keseronokan dan kebahagiaan.
"Saya tidak akan lupa pensyarah yang telah membantu saya dan memberi banyak masa dan juga usaha mereka, serta ahli keluarga, rakan-rakan dari Malaysia dan siapa sahaja yang terlibat dalam kejayaan saya mengenggam ijazah ini," katanya.
Tambah Nasser lagi, walaupun berada jauh dari negara asalnya, dia tidak berasa rindu yang keterlaluan kerana keselamatannya di sini amat terjamin dengan rakan-rakan dan pelajar tempatan amat membantu sepanjang beliau berada di sini serta kelancaran upacara konvokesyen kali ini baik sekali.
Upacara Konvokesyen ke-52 USM berlangsung dari 17 hingga 21 November 2015 di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP).
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 1561