USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELAJAR USM RANGKUL ANUGERAH OLIMPIK COCA COLA

IMG 20151123 WA0003

KUBANG KERIAN, 20 November 2015 – Pemenang tiga pingat emas Sukan SEA 2015 dalam acara memanah Fatin Nurfatehah Mat Salleh yang juga pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) telah merangkul Anugerah Olimpik 2015 tajaan Coca-Cola baru-baru ini di Kuala Lumpur.

Fatin Nurfatehah, sicilik yang berjiwa besar berasal dari Kota Kinabalu, Sabah ini adalah pelajar tahun pertama jurusan Sains Sukan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) dan telah mengungguli gelaran itu apabila dicalonkan oleh Majlis Olimpik Negara (MOM) di atas sumbangan mengharumkan nama Malaysia.

Ketika ditemui di sini, Fatin Nurfatehah berkata, dia sama sekali tidak menyangka kemenangan tersebut dan melahirkan keterujaan kerana turut dapat nengharumkan nama negara sekaligus menara ilmu tercinta, USM.

“Kemenangan ini bukan milik saya seorang bahkan untuk semua yang telah banyak menyokong dan yang memberikan semangat dalam mengharungi pelbagai cabaran dan saingan dalam sukan ini,” katanya.

Fatin Nurfatehah juga melahirkan rasa berpuas hati kerana usaha mengharumkan nama negara membuahkan hasil.

IMG 20151123 WA0001

"Kegembiraan saya ini diharap tidak mengganggu tumpuan saya untuk meraih pingat di Sukan Olimpik tahun hadapan," katanya.

Ditanya mengenai rahsia kejayaan dalam membahagikan masa dalam bersukan dan belajar, Fatin Nurfatehah berkata dalam bidang sukan, seseorang itu harus mempunyai disiplin diri yang tinggi serta berkeinginan mencapai impiannya untuk mengejar kecemerlangan.

“Mereka yang berdisiplin pasti akan cemerlang dalam bidang sukan tetapi jangan juga lupa bidang pendidikan kerana pendidikan akan menemui jalan hidup yang lebih sempurna manakala sukan membantu memberikan kecergasan kepada kita,” ujar Fatin Nurfatehah.

Fatin Nurfatehah bersama atlet terjun lelaki negara, Ooi Tze Liang telah menerima anugerah tersebut dari Presiden MOM Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar dan masing-masing membawa pulang hadiah bernilai RM10,000 beserta pingat.

Teks: Mohamad Iqmal Mathlan

Foto: Mohamad Hairol Rasli

  • Created on .
  • Hits: 1044

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024