SISTEM ADNAN BERI HARAPAN BARU KEPADA PESAKIT DIALISIS
KUBANG KERIAN, 19 November 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan rasminya melancarkan rangkaian sistem ADNAN dan mengagihkan gelang yang mempunyai cip data pesakit kepada setiap pusat hemodialisis seluruh Kelantan.
Program yang berlangsung di Pusat Mahasiswa (PUMA) ini juga turut ditunjukkan demonstrasi cara penggunaan alat tersebut malah ramai yang berpendapat sistem ini lebih senang digunakan dan mesra pengguna.
Menurut Pensyarah Fakulti Komputeran UTM, Profesor Madya Dr. Yazid Idris berkata, pakar dalam bidang Nefrologi di Kelantan masih lagi tidak mencukupi untuk menampung pesakit yang kian meningkat.
"Nisbah bagi 100 orang pesakit bersamaan dengan seorang pakar iaitu 1:100 dan alat ini dapat membantu pakar Nefrologi memantau keadaan pesakit setiap masa walaupun secara offline.
“Setelah berjaya di negeri Kelantan, kami akan memperluaskan pula ke seluruh Malaysia dan akan menjadikan Kelantan sebagai contoh prototaip yang berjaya,” katanya.
Program ini juga turut menerangkan 'Standard Operation Procedure' (SOP) kepada hadirin sebagai persediaan jika berlakunya musibah nanti.
Menurut Ketua Unit Chronic Kidney Disease (CKD) USM, Profesor Madya Dr. Azreen Syazril Adnan pula, walaupun banjir sudah tiada dan kembali pulih tetapi pusat dialisis terutamanya swasta perlu ingat bahawa sistem air dalam tangki yang tidak diguna dalam tempoh tertentu akan membiakkan pelbagai jenis bakteria.
“SOP ini bukan sahaja untuk musibah banjir tetapi untuk semua musibah kerana kita tidak tahu musibah apa yang akan melanda nanti.
“Bagi Pusat Dialisis Kuala Krai, kita sudah sediakan tempat untuk mereka simpan dan beroperasi di sini (USM), cuma mereka perlu memastikan bilangan pesakit yang berdaftar dengan mereka cukup tanpa sebarang masalah,” katanya.
Jelas Azreen lagi, bagi pesakit yang mempunyai penyakit lain seperti Hepatitis atau penghidap virus yang berjangkit, mereka akan diasingkan selepas pemeriksaan dijalankan.
Turut hadir sama dalam program tersebut ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dato’ Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir, Ketua Perkhidmatan Nefrologi, Dato’ Dr. Tan Chwee Choon, Ketua Penolong Pengarah Seksyen Ramalan Banjir dan Kemarau, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, En. Mohd Hazri Mohd Khambali dan Ketua Jabatan Hospital Serdang, Dr. Goh Bak Leong.
Teks/Foto: Muhd Zulkifli Zakaria
- Created on .
- Hits: 1318