USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PESERTA PERINTIS KURSUS TERAPI KESEIMBANGAN BADAN DAN STROK TERIMA SIJIL

DSC 2160dfh

KUBANG KERIAN, 19 November 2015 – Unit Rehabilitasi Keseimbangan Badan Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Kursus Sijil Terapi Keseimbangan Badan dan Strok Siri 1 selama enam minggu bermula pada 1 Oktober hingga 19 November 2015.

Kursus yang pertama kali diadakan ini disertai oleh 20 orang peserta yang terdiri daripada golongan orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal serta orang awam.

DSC 2108dr

Melalui kursus ini para peserta didedahkan dengan ilmu mengenai pengurusan pesakit yang bermasalah keseimbangan badan dan strok.

Kursus ini mendapat kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Negeri Kelantan (JTK) yang menghantar peserta di samping menyediakan prasarana untuk mereka menjalani latihan dengan bimbingan kepakaran pensyarah di PPSK.

Menurut Pengarah JTK, Pezman Che Hussin, kerjasama yang dibuat ini adalah salah satu daripada ‘Program Berkelompok Jana Pendapatan Azam Kerja’ yang mensasarkan golongan isi rumah berpendapatan RM760 ke bawah serta miskin tegar.

“JTK serius dalam membantu golongan OKU serta ibu tunggal untuk memastikan mereka mempunyai peluang yang sama seperti orang lain dalam menjana pendapatan dan oleh yang demikian, projek berkelompok dengan kerjasama organisasi kerajaan dan NGO sangat baik dan USM telah mengambil peluang tersebut dengan bantuan peralatan dan tempat latihan yang disediakan oleh JTK manakala tenaga pengajar yang pakar dibekalkan oleh USM.

DSC 2134fgtgh

Menurutnya lagi, pihaknya bekerjasama dengan USM kerana percaya kepakaran dalam bidang tersebut mampu memberi peluang kepada peserta untuk menambah kemahiran dalam bidang terapi keseimbangan badan dan strok yang mana ianya sesuatu yang baru untuk diketengahkan.

"Kerjasama ini memberikan impak yang lebih besar dan berjaya dengan kepakaran serta tenaga kerja yang ada dan peserta projek perintis ini akan dipantau oleh USM dalam tempoh tiga bulan agar sijil serta kemahiran yang mereka perolehi benar-benar dapat membantu mereka meningkatkan pendapatan dan taraf hidup mereka," tambah Pezman lagi.

Majlis graduasi dan penyampaian sijil disempurnakan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan,  Profesor Madya Dr. Wan Rosli Wan Ishak @ Wan Ahmad dan turut dihadiri oleh Pengarah Projek, Dr. Zuraida Zainun, tenaga pengajar serta ahli keluarga peserta.

DSC 2171dfg

Wan Rosli mengharapkan agar kerjasama tersebut akan berterusan kerana projek perintis ini telah menampakkan hasil. 

“Ini adalah peluang terbuka untuk diterokai dalam misi membantu golongan terkebawah sebegini dengan memperluaskan lagi rangkaian kerja bersama agensi lain kerana USM komited untuk membantu golongan OKU dalam memartabatkan kehidupan mereka dari segi kesihatan, kewangan dan kemahiran seperti orang lain," katanya lagi.

Anugerah Pelajar Terbaik OKU kursus ini diberikan kepada peserta Ahmad Ridzuan Fazri Jahya yang disampaikan oleh Wan Rosli.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid

Foto:  Ihsan Jurufoto UKAST

  • Created on .
  • Hits: 1021

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024