PERTEMUAN ALUMNI DAN SISWA PERKUKUH BIDANG KEUSAHAWANAN
PULAU PINANG, 18 November 2105 – Unit Keusahawanan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) terus mengorak langkah dalam memantapkan aspek keusahawanan dalam kalangan pelajar melalui Students and Alumni Bonding Programme yang mengumpulkan usahawan dalam kalangan pelajar USM sedia ada dan juga usahawan dalam kalangan Alumni USM daripada tahun pengajian dan bergraduasi yang berbeza.
Pengarah Pembangunan Pelajar, Dr. Nazarudin Zainun berkata, program ini merupakan program yang pertama kali diadakan bertujuan untuk membina landasan baru ke arah mendidik dan memperkasakan lagi keusahawanan pelajar melalui perkongsian kepakaran dan pengalaman Alumni Usahawan USM sedia ada ini bersama Usahawan Siswa.
"Melalui pertemuan ini, Unit Keusahawanan BHEPA akan bertindak dengan lebih aktif lagi dalam mempelbagaikan Felo Industri keusahawanan yang akan bertindak sebagai mentor dan pada masa yang sama menambah rangkaian keusahawanan pelajar USM," katanya.
Tambahnya lagi, seramai 16 Alumni Usahawan hadir daripada 121 yang dijemput ke program ini dan namun jumlahnya kecil, mereka tetap bersemangat untuk bersama-sama membantu Usahawan Siswa sedia ada ini melalui perkongsian perhubungan menerusi media sosial dan juga rangkaian yang bakal dibentuk iaitu Dewan Usahawan Siswa & Alumni USM.
Dewan Usahawan Siswa & Alumni USM ini akan bertindak sebagai penghubung antara Alumni Usahawan dan Usahawan Siswa dalam jaringan bidang keusahawanan termasuk pasaran, rangkaian dan lain-lain, memberikan ruang integrasi, kolaborasi dan perbincangan antara sesama ahli serta sebagai penghubung antara Unit Keusahawanan BHEPA dengan Usahawan Siswa dan Alumni Usahawan ini.
"Kami amat berbangga dengan usaha dan komitmen pelajar yang meluangkan masa cuti mereka untuk diisi dengan program keusahawanan sebegini bagi meningkatkan ilmu dan kemahiran keusahawanan di dalam diri masing-masing serta diharapkan melalui program ini, kualiti dan teknik keusahawanan perniagaan mereka semakin berkembang baik dan berjaya selepas ini," jelasnya lagi.
Antara Alumni Usahawan USM yang turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif Rawa Safaris SDN. BHD., Dato’ Azhar Ahmat yang merupakan pemilik Resort di Pulau Rawa, Mersing, Pemilik Nandong Global Food Industries, Masduki Mohfot, yang memasarkan produk makanan, Nata De Coco, Pengasas Chally and Kief SDN. BHD., Zulkifli Bujang dan beberapa Alumni Usahawan USM yang telah berjaya di mana anggaran keuntungan syarikat masing-masing berjumlah di antara RM72 ribu hingga RM10 juta.
Sementara itu, pemilik Nanoc SDN. BHD., Harun Norashid Ujang pula berkata, dengan adanya program sebegini, kami lebih bersemangat untuk mencurahkan ilmu dan pengalaman perniagaan bersama-sama pelajar USM yang mempunyai minat dan komitmen dalam mempelajari dunia keusahawanan ini.
Selain itu, Unit Keusahawanan BHEPA juga turut menjemput Felo Industri yang telah dilantik bagi bersama-sama mencurah ilmu dan kepakaran mereka dalam pembelajaran perniagaan iaitu Pengasas Akademi Keusahawanan Islam dan Otai Burger Holdings, Suhaimi Abbas, Pengurus Besar Hartanah MK Land, Haji Shahairi Aziz, Pengasas Pusat Latihan Pidato Profesional, YBhg. Dato’ Dr. Syed Ahmad Syed Samsuddin Al-Saggof, Pengasas Restoran Tuudia Paktam, Haji Ruslin Hj Ibrahim (Paktam), dan Pengarah Latihan Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Profesor Dr. Izham Nayan.
Seramai 37 pelajar yang sedang menjalankan perniagaan hadir ke program yang telah diadakan pada 12 hingga 16 November 2015 di Grand Continental Hotel, Kuala Lumpur ini.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 1758