USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

WARGA EMAS ANTARA KUMPULAN PERTAMA PEROLEH IJAZAH SARJANA MUDA KERJA SOSIAL

 DSC9046gn

PULAU PINANG, 18 November 2015 – Seorang warga emas berusia 63 tahun membuktikan usia bukan satu penghalang baginya untuk mencapai kejayaan dalam akademik apabila menerima Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial pada Majlis Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) ke-52 di sini, hari ini.

Pada majlis ini, Ooi Lay Geok, 63, berasal dari Sungai Nibong, Pulau Pinang, gembira apabila berjaya menggenggam segulung ijazah dalam tempoh empat tahun.

Ooi Lay Geok berkata, keinginannya untuk belajar ialah kerana tidak mendapat peluang sedemikian ketika usia muda sehinggalah bersara dengan jawatan terakhirnya sebagai Pembantu Tadbir di USM pada Jun 2004.

“Keinginan untuk belajar tidak akan berhenti dengan genggam Ijazah Sarjana Muda ini. Malah, kini saya sedang sambung belajar di peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang kerja sosial.

Belajar sepanjang hayat adalah sesuatu ilmu pengetahuan yang sangat bernilai dan bermakna buat selama-lamanya,” kata anak ketiga daripada tujuh adik-beradik ini.

Selain itu, Ooi Lay Geok juga berkongsi pengalaman suka duka yang dihadapi ketika melanjutkan pengajian dalam bidang kerja sosial ini.

"Cabaran utama ketika melanjutkan pengajian adalah factor usia yang pada awalnya agak sukar bagi saya untuk mengendalikan tugasan yang diberikan dan juga peperiksaan. Walau apa juga cabaran yang saya lalui, keinginan belajar ke peringkat lebih tinggi membuatkan saya mencapai apa diingini. Selain itu, rakan-rakan sekuliah sudi membantu, di samping para pensyarah yang tidak jemu memberi galakan. Ia membuatkan saya bersemangat dan sentiasa buat yang terbaik dalam setiap tugasan yang diberikan,” katanya.

Justeru itu, dia juga mendorong golongan seusianya yang masih mempunyai minat melanjutkan pengajian agar berbuat demikian dengan meneruskan niat serta menanam keberanian dalam diri masing-masing bagi menempuh cabaran dalam menuntut ilmu.

Ooi Lay Geok merupakan di antara 41 orang graduan kumpulan pertama Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial yang diperkenalkan oleh USM.

Sementara itu, bagi graduan yang memenangi hadiah Pingat Emas Kerja Sosial, Nur Akmal Fatin Azahari, 26, berkata, bidang kerja sosial ini adalah satu bidang yang murni di mana dapat memupuk semangat kesukarelawanan dalam membantu masyarakat.

“Walaupun ada segelintir masyarakat yang memandang rendah terhadap bidang ini, namun bagi kami, pelajar yang mengambil jurusan ini dapat merasai kepuasan apabila kita dapat bergaul dengan masyarakat di samping dapat menimba pengalaman baru,” jelasnya yang kini sedang berkhidmat di salah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) OrphanCare Foundation di Petaling Jaya, Selangor.

Justeru itu, tambahnya kesedaran dan pendidikan tentang pentingnya kerjaya dalam bidang ini perlu diperluaskan supaya masyarakat di negara ini sedar tentang kepentingan kerja-kerja sosial dalam membantu masyarakat.

Seramai 658 orang siswazah USM di Sidang Kedua pagi ini termasuk seramai 64 orang kumpulan pertama Ijazah Sarjana Muda Ekonomi menerima ijazah mereka daripada Pro Canselor USM, Tan Sri Razali Ismail.

Upacara Konvokesyen USM ke-52 menganugerahkan ijazah kepada sejumlah 5,665 graduan dan jumlah itu termasuk dua Ijazah Kehormat, satu Profesor Emeritus, 1,457 Ijazah Tinggi, 4,205 Ijazah Pertama, 74 Diploma Kejururawatan dan tiga ijazah anumerta.

Teks: Syuhada bt Abd Aziz

  • Created on .
  • Hits: 1652

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024