USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

RAZALI ISMAIL SERU SISWAZAH BERSYUKUR DAN SENTIASA PERTAHAN INTEGRITI

 DSC8955dfh

PULAU PINANG, 18 November 2015 – Dengan pelbagai kemelut yang berlaku di seluruh dunia, para siswazah hari ini perlu bersyukur dan menghargai apa yang dinikmati sekarang ini kerana  masih terdapat ramai yang tidak berpeluang untuk mendapatkan pendidikan di seluruh dunia dan menghadapi kesukaran dalam hidup.

“Ketika saudara-saudari memenuhi restoren dan kedai makanan segera yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan, jangan lupa terdapat ramai lagi yang masih kelaparan dan mati kerana kurang zat makanan dan ketika saudara-saudari bebas berjalan ke mana sahaja, berapa ramai yang menjadi pelarian perang dan persengketaan perang saudara,” kata Pro Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Tan Sri Razali ketika berucap selepas menyampaikan ijazah kepada 779 orang siswazah di Sidang ketiga Upacara Konvokesyen Ke-52 pada petang ini.

Tambahnya lagi, kita dapat melihat dengan jelas perbezaan yang nyata wujud di antara negara maju dan negara yang sedang membangun apatah lagi negara-negara miskin, malah di sesetengah negara yang dianggap maju sekalipun, terdapat ramai gelandangan dan mereka yang bernasib malang merempat dan melalui kehidupan yang sukar. 

Malah di sesetengah tempat pula, kita melihat bagaimana berlaku pembaziran makanan dan lainnya, perbelanjaan besar untuk kemewahan, teknologi dan gajet yang tidak seimbang dengan keperluan, seperti teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) yang mempunyai jurang besar dalam kebanyakan negara.

“Jika ada peluang, jelajahlah seluruh dunia dan lihat sendiri bagaimana nasib pelbagai umat manusia di dunia dan saya bersyukur kerana melalui pengalaman sendiri melihat kehidupan pelbagai jenis manusia di pelbagai negara selama ini,” kata diplomat terkenal yang pernah berkhidmat lebih 10 tahun di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu New York. 

Menurutnya lagi, pada masa yang sama banyak pihak termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengadakan pelbagai usaha untuk mengubah nasib umat manusia di seluruh dunia. Antaranya ialah melalui Millennium Development Goals (MDGs), satu usaha yang memakan masa selama 15 tahun sejak 2000 dengan memfokuskan kepada  8 perkara asas termasuk mengurangkan kemiskinan tegar dan kelaparan, memenuhi keperluan pendidikan asas, kesaksamaan gender, mengurangkan kadar kematian bayi, meningkatkan kesihatan ibu-ibu, menghadapi isu HIV/AIDS, malaria dan pelbagai penyakit lain, pembangunan  lestari dan membangunkan perkongsian global dalam pembangunan dengan pencapaian yang boleh dibanggakan walaupun tidak sepenuhnya.

Pada 25 September 2015 baru-baru ini pula, United Nations Sustainable Development Summit yang dihadiri oleh lebih 150 orang pemimpin dunia komited menerima pakai 2030 Agenda for Sustainable Development baharu termasuk Sustainable Development Goals (SDGs), satu agenda untuk 15 tahun akan datang yang menekankan secara lebih spesifik 17 matlamat utama melalui apa yang dikenali juga sebagai Global Goals. 

“Saya menyebut hal ini dengan hasrat untuk mengajak saudara-saudari sebagai orang berilmu untuk bersama-sama memainkan peranan dalam menjayakan usaha ini secara menyeluruh, biar di mana pun nantinya saudara-saudari berada dan setiap orang ada peranannya tersendiri dalam menjayakan usaha ini dan yang utama ialah bertindak dengan penuh kebijaksanaan (wisdom)  dan sentiasa mempunyai integriti dan akauntabiliti yang tinggi kerana kita lihat dalam apa jua krisis kemanusiaan yang berlaku di seluruh dunia, malah juga sejarah kejatuhan tamadun, institusi malah negara bangsa di mana jua pun adalah kerana tiadanya integriti, ketelusan dan akauntabiliti terhadap amanah dan tanggungjawab yang dipikul dengan sebahagian besar tragedi berlaku apabila hilang pertimbangan dalam mengejar kesenangan dan kebendaan serta pada masa yang sama pertimbangan kemanusiaan dan moral semakin tipis dengan tidak lagi mempedulikan mereka yang memberi amanah dan tanggungjawab dalam kepimpinan dan kuasa yang ada,” tegas Razali.

Beliau juga menyeru para siswazah sebagai orang berilmu agar sentiasa berpegang teguh kepada nilai-nilai integriti, nilai kemanusiaan dan saling hormat menghormati malah juga  kepada kesejahteraan bersama bermula daripada keluarga sehinggalah kepada komuniti, masyarakat, negara dan dunia. 

“Sehebat manapun usaha-usaha yang dilakukan oleh sesiapa sahaja termasuk pertubuhan dunia seperti PBB, tanpa sikap prihatin daripada semua pihak, kita akan akhirnya menjadi huru hara dan merosakkan apa jua yang ada,” kata Razali.

Pro Canselor USM itu juga meminta agar setiap orang membuat analisis sendiri dengan fakta dan data untuk membuktikan sesuatu perkara kerana kemajuan hanya boleh dicapai dengan integriti dan akauntabiliti yang tinggi pada semua peringkat masyarakat – pemimpin mahupun yang dipimpin.

Sementara itu, ketika berucap selepas menyampaikan ijazah kepada 658 orang siswazah USM pada Sidang Kedua pagi ini, beliau menyeru para siswazah untuk menunaikan tanggungjawab sebagai orang berilmu dengan kembali berbakti kepada masyarakat, komuniti dan dunia seluruhnya.

“Sebagai orang berilmu, para siswazah  mempunyai tanggungjawab melakukan sesuatu untuk komuniti, masyarakat dan dunia seluruhnya serta meningkatkan lagi usaha yang dibuat dalam melakukan perubahan dan tindakan-tindakan untuk mencapai kejayaan,” kata Razali.

Berkongsi pengalamannya sebagai seorang diplomat yang lebih 10 tahun bertugas di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Razali menyeru agar siswazah sentiasa menerokai kemampuan dan keupayaan diri untuk menjadi pemimpin yang berintegriti dan membanggakan universiti dan negara.

Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1105

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024