USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

WUJUDKAN JARINGAN AKADEMIA ASEAN UNTUK KECEMERLANGAN MASA HADAPAN

PULAU PINANG, 17 November 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) bercadang untuk mewujudkan jaringan akademia dalam kalangan ahli-ahli akademik rantau ASEAN untuk menbangunkan kekuatan bersama demi kecemerlangan masa hadapan.

Naib Canselor USM Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, satu lagi jaringan Rangkaian Akademia ASEAN perlu dibangunkan segera dalam memperkukuhkan dan memperkasakan kerjasama yang ada dalam bidang akademik dan penyelidikan dengan mengumpulkan kekuatan seluruh tenaga akademik di rantau ini, mengambil semangat Komuniti ASEAN sekarang ini.

“Rangkaian ini bolehlah dihubungkan juga dengan rangkaian ahli akademik terkemuka dunia lain termasuk di Asia mahupun dunia seluruhnya untuk membangunkan satu sinergi, ekosfera ilmu dan kekuatan bersama dalam konteks kepakaran dan jalinan untuk masa hadapan bagi memanfaatkan sumber yang ada secara optimum dan usaha-usaha lain yang dapat memaknakan universiti dalam konteks global dan universal bermula dari rantau ASEAN,” kata Omar.

Berucap di Sidang Pertama Upacara Konvokesyen Ke-52, beliau berkata, bagaimana hal ini dapat dijayakan bolehlah dibincangkan nanti dan agaknya boleh dimajukan di peringkat kerajaan dengan kerajaan mahupun melalui pelbagai saluran dan institusi yang ada.

USM telah mewujudkan pelbagai jaringan kerjasama misalnya The Asia Pacific University-Engagement Network (APUCEN) yang membawa kita bekerja bersama-sama dengan lebih daripada  70 universiti di dunia dengan yang terkini melibatkan universiti di Australia dan  baru melancarkan Asian Local Knowledge Network (ALKN) di Bandung Indonesia dalam memartabatkan ilmu kearifan tempatan pelbagai bangsa dan komuniti dunia yang kaya dengan khazanah ilmunya dari terus luput ditelan zaman di samping mempelopori jaringan Kerjasama pelajar ASEAN melalui bidang keusahawanan.

“Semua usaha ini dibuat kerana percaya bahawa ilmu pengetahuan, komuniti, pemindahan ilmu dan khidmat kemasyarakatan dapat membantu memastikan ilmu pengetahuan yang diterokai di universiti akan terus relevan pada masa hadapan dalam konteks aplikasi dan pembangunan ekonomi serta transformasi social,” kata Omar.

Tambahnya lagi, cadangan ini dibuat selaras dengan hasrat untuk terus bekerja bersama-sama sepertimana yang ditunjukkan melalui semangat bersatu padu ketika berhadapan dengan bencana dengan memanfaatkan kekuatan ilmuan untuk membantu dalam pelbagai isu alam dan kelestarian, dari bencana jerebu, tanah runtuh, banjir besar malah solidariti yang ditunjukkan ketika dunia dilanda tsunami dahulu.

Bercakap kepada kira-kira 376 orang yang sebahagian besarnya adalah siswazah ijazah kedoktoran, Omar menyeru agar para siswazah bergabung tenaga, kekuatan dan kepakaran memberikan bakti kepada dunia seluruhnya serta  keluar daripada pemikiran biasa dengan  mencari jalan bagaimana untuk kembali kepada universiti dan menghubungkan USM dengan dunia seluruhnya bersama-sama.

Menurut Omar, USM berusaha gigih pula untuk meneruskan agenda pembangunan APEX 2020 yang diharapkan dapat membawa ke puncak kecemerlangan dan melestarikan usaha sebuah universiti dalam menobatkan ilmu pengetahuan dengan berfokuskan kepada 3 Strategic Objectives untuk membangunkan bakat atau talent berdaya saing global, penyelidikan untuk menghasilkan taraf global prominence dan kecemerlangan institusi yang berpegang teguh kepada nilai-nilai etika, kewangan dan persekitaran yang lestari.

“USM percaya bahawa apa jua usaha yang dilakukan mestilah dibuat dan dijayakan bersama-sama dengan menyatukan pelbagai kekuatan ilmu dan kepakaran bersama-sama pelbagai pihak lain sebagai sinergi mencapai kejayaan dalam penawaran pengajian, usaha libatsama komuniti-universiti, penyelidikan malah juga usaha lain-lainnya di peringkat dunia,” tegas Omar.

Canselor USM DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail menyampaikan ijazah-ijazah kepada para siswazah bersama-sama dengan Raja Perempuan Perlis DYMM Tuanku Tengku Fauziah binti Al-Narhum Tengku Abdul Rashid yang berangkat ke majlis tersebut.

Yang hadir sama ialah Menteri Riset, Teknologi dan Pendidikan Tinggi Indonesia, Profesor Dr.  Mohamad Nasir dan isteri, Pro Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansor, Pengerusi Lembaga Gabenor, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan dan Pengerusi K.L.E. Society Dr. Prabhakar Basaprabhu Kore.

Seramai 5665 orang graduan menerima ijazah pada Upacara Konvokesyen Ke-52 USM kali ini yang diadakan dalam sembilan sidang bermula hari ini hingga Sabtu.

Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 811

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024