USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEJAYAAN AKADEMIK DAN BERSAING DI DUNIA PERLU SEIRING DENGAN PEMBANGUNAN AKHLAK

PULAU PINANG, 16 November 2015 – Kecemerlangan dalam bidang akademik dan menguasai nilai-nilai hidup yang perlu untuk menghadapi persaingan global mestilah juga seiring dengan usaha mengekalkan jati diri sebagai satu bangsa.

Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail bertitah mengingatkan pelajar bahawa kecemerlangan akademik dan menguasai nilai-nilai persaingan global yang dikehendaki perlulah diperkukuhkan dengan akhlak dan jati diri bangsa.

“Berpeganglah kepada nilai budaya kita iaitu budi bahasa, budi bicara dan budi pekerti mulia dengan sentiasa hormat kepada orang yang lebih tua, menyayangi  mereka yang lebih kecil dan berbelas kasihan terhadap orang yang kurang bernasib baik dan berkat keikhlasan hati nurani, urusan kita semua akan dipermudahkan dan USM akan terus berjaya dalam memacu perubahan pendidikan tinggi ke arah masa hadapan yang lestari,” titah baginda kepada kira-kira 500 orang pelajar yang memenuhi Dewan Budaya USM.

Titah baginda lagi, perjalanan para mahasiswa dalam mencari ilmu di  universiti adalah suatu pengalaman yang sangat bermakna, lebih-lebih lagi dengan kehebatan para pensyarah dan penyelidik USM yang sentiasa memberi panduan dan tunjuk arah yang berkesan namun pada masa yang sama, para mahasiswa perlu sedar bahawa nilai-nilai yang sedang diterapkan seperti bekerja dalam satu pasukan, kemahiran berkomunikasi, serta ketahanan daya mental dan fizikal adalah persiapan penting untuk keluar ke dunia pekerjaan dan realiti kehidupan.

Baginda mengingatkan bahawa pengalaman tidak boleh dipelajari, sebaliknya dialami sendiri oleh individu yang betul-betul minat dan mengambil bahagian dalam sesuatu lebih-lebih lagi yang sukar dan mencabar yang bertujuan untuk membangunkan keupayaan diri bagi menghadapi masa hadapan seperti kata peribahasa Melayu jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

Canselor USM itu turut mengingatkan pelajar bahawa cabaran dunia hari ini yang bersifat “global village”   memerlukan mereka benar-benar menguasai segala nilai persaingan yang bersifat universal dan  sikap sambil lewa, tidak peduli dan suka bertangguh akan menyebabkan ketinggalan dan sukar bersaing.

“Dengan perkembangan teknologi yang sungguh pesat, semuanya hendak bergerak dengan pantas, kehendak dan keperluan masyarakat pada hari ini sudah berbeza berbanding yang dahulu dan dunia hari ini memerlukan perkhidmatan yang cepat dan tuntas mengikut kehendak pasaran dan ekonomi manakala individu-individu lebih cenderung dengan kecukupan diri sendiri sahaja, dan sering lupa terhadap orang lain yang berada di belakang yang jika tiada usaha-usaha yang diambil oleh pihak universiti saya khuatir seandainya para graduan USM sukar menghadapi persaingan di luar kelak,” titah baginda lagi.

Pada majlis tersebut, Canselor USM turut menyampaikan Anugerah Pemimpin Pelajar Cemerlang Naib Canselor kepada siswazah USM yang terlibat dalam kerja-kerja sukarela dan program Kampus Sejahtera, Wee Soon Kit dan Anugerah Pingat Emas Pelajar Terbaik Kurang Upaya, Ruvindiran A/L Mohan.

Yang turut hadir ialah Pro Canselor USM, Tan Sri Mustafa Mansor, Pengerusi Lembaga Gabenor, Tan Sri Dr. Zulkefli A. Hassan dan Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein.

Teks: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 1005

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024