USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM SEDIA HADAPI CABARAN MASA HADAPAN CAPAI APEX 2020

PULAU PINANG, 16 November 2015 – Dengan pelbagai kejayaan yang dilakar sepanjang tahun 2015 dan sebelumnya termasuk terdapai ramai ahli akademik yang diiktiraf di dalam pelbagai anugerah utama seperti Anugerah Akademik Negara, Malaysia Rising Star Award dan Top Research Scientists Malaysia di samping pelbagai kekuatan kepakaran dalam bidang arkeologi, tanah runtuh, bencana alam, pentadbiran awam mahupun penerokaan penerbitan buku elektronik di peringkat dunia, USM yakin mengharungi cabaran masa hadapan dengan lebih cemerlang.

Berucap di Majlis Santapan Malam Canselor sempena Upacara Konvokesyen USM Ke-52 di sini, Naib Canselor Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, melihat sebahagian daripada pelbagai kejayaan yang ditempa, memberi gambaran keupayaan sebenar USM untuk menghadapi masa hadapan. 

“Bagaimana kita mampu menggunakan lebih banyak lagi kejayaan yang ada untuk melangkah dengan yakin bukan sahaja dalam menobatkan makna idealisme ilmu tetapi memanfaatkannya dan bersikap realistik dan pragmatik untuk kekal relevan, malah dalam keadaan dan cabaran yang akan didepani nanti dengan pengurangan dana daripada kerajaan,” kata Omar.

Jelasnya, USM mengambil langkah-langkah penting dengan berusaha menjadikan kelestarian teras utamanya termasuk dalam penjimatan dan pengurangan tenaga dengan menjimatkan kos utiliti dan komunikasi, memanfaatkan teknologi hijau dalam semua urusan dan memanfaatkan anugerah Tuhan sebaik mungkin, melaksanakan proses kerja yang lebih kos effektif dan  produktif, memantapkan proses procurement, memantapkan kos dalam pengurusan bakat dan sumber manusia dan pelbagai langkah penjimatan lain yang bersifat lestari dalam memastikan kelangsungan universiti dalam jangka panjang.

“Ini termasuklah juga bagaimana misalnya kita dapat secara kreatif dan inovatif, menggunakan pelbagai kaedah peningkatan kualiti dalam penjimatan kos tanpa menjejaskan perkhidmatan kepada masyarakat dan komuniti serta bagaimana kita dapat manfaatkan hubungan kerjasama dengan pelbagai pihak untuk penawaran pengajian dan kepakaran pada peringkat antarabangsa  melalui pelbagai jaringan dengan universiti-universiti seluruh dunia melalui jaringan industri dan masyarakat yang berupaya merealisasikan usaha ini,” kata Omar.

Tambah Naib Canselor USM itu lagi, pihaknya berusaha meneliti model-model pengurusan untuk terus dimantapkan pada masa hadapan, terutamanya dalam mencapai perancangan APEX 2020 yang menyasarkan pencapaian yang lebih lestari termasuk  dalam usaha pembangunan pelajar dan pemerkasaan para alumninya seperti  Program APEX Scholar yang menyasarkan penghasilan siswazah berminda global untuk menghadapi persaingan pada masa hadapan telah mula dilaksanakan dengan pemilihan untuk mendapatkan kira-kira 100 orang pelajar pada minggu lalu.

“Dengan berteraskan kepada usaha menghasilkan siswazah HEBAT atau menguasai nilai-nilai  ‘Holistic’, ‘Entrepreneurial’ in having the character of an entrepreneur, ‘Balanced’ or in equilibrium, ‘Articulate’ and ‘Thinker’ or being thoughtful – USM bekerjasama dengan pelbagai pihak tempatan dan antarabangsa – terutamanya melalui pelbagai jaringan antarabangsa dengan pelbagai universiti di dunia serta syarikat-syarikat multinasional mahupun GLC yang menghulurkan bantuan, kita sasarkan untuk menjayakan sisawzah yang dapat memenuhi keperluan bakat di seluruh dunia dalam sedikit masa lagi selaras dengan semangat Kami Memimpin, Memacu Kecemerlangan,” tegas Omar.

Canselor USM DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis DYMM Tuanku Tengku Fauziah binti Al-Narhum Tengku Abdul Rashid berangkat ke majlis tersebut.

Yang hadir sama ialah Menteri Riset, Teknologi dan Pendidikan Tinggi Indonesia, Profesor Dr.  Mohamad Nasir dan isteri, Pro Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansor, Pengerusi Lembaga Gabenor, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan dan Pengerusi K.L.E. Society, Dr. Prabhakar Basaprabhu Kore.

Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 913

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024