USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM BERBANGGA KEJAYAAN ALUMNI: USAHA PERLU DITINGKATKAN UNTUK KEKAL RELEVAN

IMG 0698bvn

PULAU PINANG, 16 November 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) berbangga dengan pencapaian para alumninya selama ini dan mengiktiraf kecemerlangan dan sumbangan mereka kepada pembangunan masyarakat mahu pun kepimpinan banyak universiti apatah lagi terdapat ramai Naib Canselor atau Rektor universiti terutamanya di Indonesia yang merupakan alumni USM.

“Kita turut berbangga kerana alumni USM telah mengukir nama besar dalam pelbagai lapangan termasuk kepimpinan masyarakat dan negara di mana sahaja mereka berada seperti Profesor Dr. Mohamad Nasir, Menteri Riset, Teknologi dan Pendidikan Tinggi Republik Indonesia yang juga bekas Rektor Universitas Diponegoro Indonesia di samping dua orang menteri dalam kalangan alumninya yang berada dalam Kabinet Kerajaan Malaysia iaitu Dato’ Seri Idris Jusoh, Menteri Pendidikan Tinggi dan Dato’ Seri Mahdzir Khaled, Menteri Pendidikan Malaysia,” kata Naib Canselor Profesor Dato’ Dr. Omar Osman.

Bercakap dalam majlis Anugerah Sanggar Sanjung USM 2014 di sini, usaha perlu dibuat  pada masa hadapan dan tidak hanya terhenti kepada pengiktirafan sebaliknya menerokai peluang-peluang baharu untuk kita mencapai kejayaan yang lebih bersifat lestari dan berdikari dengan  keluar dari kepompong yang sedia ada untuk memastikan warganya tidak hanya selesa dengan apa yang dicapai.

IMG 0735ghj

”Kita perlu melihat jauh ke hadapan dengan faedah yang diperolehi secara langsung kepada masyarakat dan negara apatah lagi dalam konteks universiti kita dan bagaimana dapat menterjemahkan kejayaan-kejayaan ini kepada usaha melestarikannya demi kelangsungan masa hadapannya misalnya, memberi pengiktirafan yang tinggi kepada mereka yang menghasilkan kreativiti dan inovasi yang memudahkan kehidupan umat manusia, berjaya dalam usaha pengkomersilan produk penyelidikan mahu pun inovasi yang dihasilkan dari kekuatan ilmu yang ada serta menghasilkan teknologi yang mudah, murah dan berguna kepada oang ramai melalui inovasi yang dilakukan oleh ahli-ahli akademik kita,”kata Omar.

Tambahnya lagi, USM juga akan turut mempelajari pengalaman KLE Society dalam usaha menjaga kesihatan awam, meawarkan pengajian terutamanya Sains Perubatan dan Kesihatan serta melaksanakan Hospital Pengajaran untuk masyarakat miskin dan terpinggir perlu kita pelajari dengan lebih mendalam di samping melihat pelbagai model yang ada dalam memastikan kelangsungan universiti pada masa hadapan.

”Kita harus berupaya membangunkan satu model baharu yang sesuai dengan keperluan yang ada, malah berusaha memanfaatkan jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak merentasi sempadan, yang telah kita lakukan sejak beberapa tahun lalu kerana mencapai kejayaan dan pengiktirafan adalah sesuatu yang penting, tetapi mengekal dan meningkatkan lagi apa yang dicapai dengan memastikan terus relevan dalam memenuhi amanah dan tanggungjawab yang dipikul adalah jauh lebih penting untuk masa hadapan,” tegas Naib Canselor.

IMG 0750hhjk

Lebih 200 orang warga USM menerima pelbagai anugerah dalam majlis tersebut.

Canselor USM DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis DYMM Tuanku Tengku Fauziah binti Al-Narhum Tengku Abdul Rashid berangkat ke majis tersebut.

Yang hadir sama ialah Menteri Riset, Teknologi dan Pendidikan Tinggi Indonesia Profesor Dr.  Mohamad Nasir dan isteri, Pro Canselor USM Tan Sri Datuk Mustafa Mansur, Pengerusi Lembaga Gabenor USM Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan dan Pengerusi K.L.E. Society Dr. Prabhakar Basaprabhu Kore.

Tegas Naib Canselor, menerima Anugerah Sanggar Sanjung seharusya dijadikan satu petunjuk dan tanda aras untuk masa hadapan serta bagaimana ilmu pengetahuan dan pencapaian yang ada ini dapat diterjemahkan dalam konteks yang lebih lestari dengan memastikan usaha  menyediakan pelan penggantian segera untuk memastikan kelangsungannya pada masa hadapan malah mencari kaedah terbaik untuk memastikan hasil usaha yang dilakukan ini dapat diterjemahkan dalam bentuk yang dapat membantu kelangsungan masa hadapan USM dalam pelbagai bentuk lain.

Teks: Mohamad Abdullah 

  • Created on .
  • Hits: 882

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024