LAWATAN AKADEMIK PERKUKUH ILMU PENGETAHUAN DAN MODAL INSAN PELAJAR
PULAU PINANG, November 2015 - Pelajar Program Sinaran Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan telah mengadakan lawatan ke luar negara baru-baru ini yang julung kalinya bertujuan mendedahkan mahasiswa tentang teknologi-teknologi terkini berkaitan bidang Sinaran Perubatan yang terdapat di negara asing bagi memperluaskan sudut pandang pelajar berkenaan prospek bidang Sinaran Perubatan ini.
Menurut Penasihat program, Dr. Wan Nordiana Wan Abd Rahman, menerusi lawatan yang bermakna baru-baru ini, pelajar Program Sinaran Perubatan tahun dua ini lebih awal didedahkan secara teoritikal dan praktikal kepada pelbagai proses serta cara mengendalikan bahan berunsur radioaktif mahupun mesin canggih.
"Sebagai contoh, mahasiswa didedahkan kepada cara operasi mesin synchrotron untuk tujuan perubatan serta selain itu, bagaimana melakukan kalibrasi atau Quality Control (QC) pada bahan sinaran dan radioaktif setiap hari, cara penggunaan personal dosimeter dan sedikit sebanyak mengenai bagaimana penyelidikan dijalankan menggunakan kemudahan tersedia di sesuatu jabatan,” katanya.
Tambah Wan Nordiana, pelajar berkesempatan juga untuk mendengar penerangan daripada pihak badan-badan organisasi yang dilawati iaitu Medical Radiation Discipline, Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT) Bundoora Campus, Imaging and Medical Beamline (IMBL) Australian Synchrotron, Australian Radiation Protection and Nuclear Safety Agency (ARPANSA) dan William Buckland Radiotheraphy Centre (WBRC), Alfred Hospital.
Selain itu, pelajar juga dapat mendengar taklimat dari badan yang terlibat ini atau yang mempunyai kolaborasi dengan organisasi yang dilawati seperti Monash University dan Radiation Health and Safety Advisory Council (RHSAC).
"Malah dalam satu kuliah, para pelajar telah didedahkan dengan proses brakiterapi terbaru melibatkan kanser prostat yang dialami oleh kaum lelaki daripada Pengarah Australian Clinical Dosimetry Service (ACDS) Dr Ivan Williams yang telah mendedahkan mahasiswa dengan peringkat-peringkat audit iaitu Level I, Level Ib, Level II dan Level III yang menjadi standard pengukuran," tegasnya lagi.
Di samping pelbagai informasi yang diperoleh melalui pertemuan dua hala, pelajar juga menimba pengalaman dan merasai sendiri suasana sesi pembelajaran di RMIT.
Sementara itu, pelajar terlibat, Fatin Nadiah Rusly pula menyifatkan lawatan sebegini amat berfaedah kerana memberi ruang untuk menambahkan pengetahuan dan pemahaman budaya pembelajaran serta membuat perbandingan positif pengajaran bidang Sinaran Perubatan antara Malaysia dan Australia serta pelbagai informasi yang baru dapat ditimba menerusi perbincangan secara dua hala yang diaturkan sepanjang program bersama institusi di Australia.
"Kami juga mendapati kualiti dan nilai modal insan dalam diri mula bercambah selepas melalui sendiri lawatan ini, malah kini saya sedikit sebanyak telah dapat mengimplementasikan idea yang diperoleh ketika lawatan ini ke dalam aktiviti pembelajaran dan dalam kehidupan seharian berkaitan kursus yang diambil," tambahnya yang juga merupakan Setiausaha bagi program ini.
Rata-rata pelajar yang terlibat bersetuju bahawa pengalaman yang mereka timba sepanjang mengikuti lawatan akademik ini amat bermakna bagi Program Sinaran Perubatan dan amat mengharapkan agar pihak USM Kampus Kesihatan khususnya untuk terus menyokong program seperti ini di masa hadapan agar ia dapat memberi peluang kepada pelajar yang baru menceburi bidang ini untuk lebih bersemangat serta tidak memandang enteng kepada kerjaya yang luas prospeknya ini.
Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Profesor Ahmad Zakaria pula berpandangan program lawatan akademik ini amat bermanfaat kepada pelajar dan sokongan penuh akan diberikan untuk pelajar bagi menganjurkan program seumpama ini di masa hadapan.
"Aktiviti sebegini ini adalah selaras dengan objektif universiti ke arah memacu kecemerlangan di peringkat global serta program seperti ini dapat meningkatkan kolaborasi dan jaringan dalam bidang akademik dan penyelidikan di peringkat antarabangsa," tambahnya.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 1281