USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MENTERI INDONESIA ANTARA PENERIMA IJAZAH KEHORMAT SEMPENA UPACARA KONVOKESYEN KE-52 USM

KONVO Tahniah 10x4

PULAU PINANG, 15 November 2015 – Menteri Riset, Teknologi dan Pendidikan Tinggi Indonesia, Profesor Dr. H. Mohamad Nasir dan  Chairman, K.L.E. Society India, Dr. Prabhakar Basaprabhu Kore adalah antara penerima Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan sempena Upacara Konvokesyen ke-52 Universiti Sains Malaysia (USM) yang akan bermula Selasa depan.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, selain dua tokoh tersebut, Naib Canselor dan Presiden Taylor’s University, Profesor Dato’ Dr. Hassan Said pula akan turut dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus atas sumbangan signifikan beliau dalam bidang pendidikan.

Katanya, istiadat penganugerahan sidang pertama akan disempurnakan oleh Raja Perlis merangkap Tuanku Canselor USM, D.Y.M.M Tuanku Syed Sirajuddin ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dengan pengijazahan kepada 376 graduan.

“Sehingga kini sejak tahun 1972, USM telah berjaya melahirkan lebih daripada 100,000 graduan pelbagai peringkat.

IMG 0533fgh

“Bagi tahun ini (2015), USM telah berjaya melahirkan sejumlah 592 graduan ijazah doktor falsafah, satu angka yang memberangsangkan dan kita akan berusaha untuk meneruskan tradisi kecemerlangan ini,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas sempena Upacara Konvokesyen ke-52 USM, serentak memperkenalkan graduan-graduan cemerlang dan istimewa USM, di sini hari ini.

Yang hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan, Pendaftar, Siti Zubaidah A. Hamid dan pegawai-pegawai utama Universiti.

IMG 0486hj

IMG 0487fgj

Antara graduan yang turut hadir ialah penerima Hadiah Pingat Emas Canselor (Pelajar tahun akhir terbaik dalam segala lapangan, Yiauw Diing Shenq – Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Mekanik).

Selain itu, dua penerima Anugerah Pelajaran Diraja oleh Majlis Raja-raja Malaysia (Pelajar terbaik dalam segala lapangan) ialah Ahmad Faiz Bin Azar – Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Awam)(Bumiputera) dan Chiam Swin Haur – Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Bukan Bumiputera) juga turut hadir.

USM turut menganugerahkan Pingat Emas USM untuk Pelajar Kelainan Upaya (PKU) kepada graduan cacat penglihatan Ruvindiran a/l Mohan – Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial.

IMG 0526jkb

Turut hadir ialah graduan ijazah doktor falsafah berjiwa kental dan pemenang Ikon Belia Pulau Pinang, Mohd. Sharizal Abdul Aziz – Ijazah Doktor Falsafah (Kejuruteraan Mekanik).

Naib Canselor turut mengumumkan, secara keseluruhan USM bakal menganugerahkan ijazah kepada sejumlah 5,665 graduan dan jumlah itu termasuk dua Ijazah Kehormat, satu Profesor Emeritus, 1,457 Ijazah Tinggi, 4,205 Ijazah Pertama, 74 Diploma Kejururawatan dan tiga ijazah anumerta.

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 2030

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024