USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

IBARATKAN MATI HIDUP SEMULA - SHARIZAL

IMG 0523

PULAU PINANG, 15 November 2015 – “Ibaratkan mati hidup semula, namun ketentuan Allah adalah yang sebaik-baik untuk hambaNya,” itulah yang boleh digambarkan oleh Mohd Sharizal Abdul Aziz, 32.

Anak jati Pulau Pinang ini ternyata mempunyai semangat dan keazaman kuat untuk berjaya dalam hidupnya walaupun pernah ditimpa kemalangan yang hampir merangut nyawanya lapan tahun yang lalu.

“Saya hampir berputus asa selepas kemalangan yang menimpa saya di tempat kerja. Ketika itu saya bekerja sebagai jurutera mengendalikan mesin di kilang simen di Perak. Pada hari kejadian, mesin itu tiba-tiba meletup dan menyebabkan saya jatuh daripada ketinggian 28 meter ke bawah,” jelasnya.

Dari raut ceria wajahnya, tiada siapa sangka pemuda yang pernah disahkan doktor akan lumpuh seumur hidupnya, bangkit semula mengejar cita-cita untuk berjaya seperti orang lain juga.

IMG 0542fghj

“Akibat letupan itu, saya mengalami patah tulang rusuk, tulang belakang dan beberapa anggota badan yang lain selain turut terbakar di beberapa anggota badan. Ketika itu, doktor mengesahkan bahawa saya mengalami kecenderaan saraf tunjang dan akan lumpuh seumur hidup,” tambahnya lagi.

Terkenang kata pepatah kasih ibu sehingga ke syurga, Sharizal bertekad memulakan hidup baru dengan semangat dan doa yang tidak putus ibunya.

“Pengorbanan ibu yang membuatkan saya sangat terharu. Bayangkan, ibu sanggup menjaga saya dari petang sehingga ke pagi keesokannya di hospital sebelum kembali memulakan kerjanya di sebuah syarikat swasta," kata anak kepada bekas tentera ini.

Selepas mulai sembuh, untuk membuktikan bahawa dia hanya kekurangan dari segi fizikal, tapi masih mempunyai banyak kelebihan dalam perkara yang lain.

IMG 0581ghhj

Kemahuannya dibuktikan terjadi apabila dia berjaya menamatkan pengajian Doktor Falsafah (Ph.D.) di Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Universiti Sains Malaysia (USM) pengkhususan dalam bidang kajian berangka terhadap pematerian gelombang menggunakan teknik penggandingan haba.

Pemegang Anugerah Ikon Belia Bumiputera Pulau Pinang 2014 ini membuktikan bahawa setiap insan memang telah ditakdirkan mampu mengubah nasib dirinya jika mahu. Aktif dalam sukan renang, aktiviti kemasyarakatan, dan pada masa yang sama, cemerlang dalam akademik melayakkan Sharizal menerima Anugerah Khas Juri, satu pencapaian yang tidak pernah terlintas dalam akal fikirnya.

“Selepas pulih daripada kecenderaan itu, selain turut menyambung pelajaran di peringkat Sarjana di USM, saya mula bergiat aktif dalam sukan paralimpik dan pernah mewakili Pulau Pinang dalam Kejohanan Sukan Paralimpik Zon Utara pada 2013, saya berjaya merangkul 5 pingat emas, dan pada kejohanan yang sama pada 2014, saya membawa pulang 3 perak dan 1 gangsa,” katanya ketika ditemubual selepas sidang media khas sempena Upacara Konvokesyen ke-52 USM, serentak memperkenalkan graduan-graduan cemerlang dan istimewa USM, di sini hari ini.

Yang hadir sama ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan, Pendaftar, Siti Zubaidah A. Hamid dan pegawai-pegawai utama Universiti.

Sharizal turut memberi nasihat terutamanya kepada mereka yang senasib dengannya, jangan berputus asa selagi nyawa di kandung badan, jangan memandang rendah pada diri sendiri selagi tidak diterokai rahsia hidup yang ada.

"Saya harap terutamanya kepada golongan yang senasib dengan saya janganlah berasa malu untuk mulakan kehidupan baru.  Bagi saya, kekurangan yang ada ini sebenarnya menjadi perangsang kepada saya untuk membuktikan kepada masyarakat luar bahawa semua orang mempunyai peluang kedua dalam hidup mereka. Dan percayalah, setiap yang berlaku pasti ada hikmah yang tersembunyi," katanya yang kini bahagia bersama isteri tercinta Nor Hana Adam, 30, dan permata hati, Muhammad Luth yang berusia dua tahun.

Upacara Konvokesyen ke-52 USM bakal menganugerahkan ijazah kepada sejumlah 5,665 graduan dan jumlah itu termasuk dua Ijazah Kehormat, satu Profesor Emeritus, 1,457 Ijazah Tinggi, 4,205 Ijazah Pertama, 74 Diploma Kejururawatan dan tiga ijazah anumerta.

Teks: Syuhada Abd Aziz

  • Created on .
  • Hits: 2741

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024