MINAT KETENTERAAN SEJAK KECIL DORONG UNTUK BERJAYA
PULAU PINANG, 14 November 2015 – Minat bidang ketenteraan sejak dari kecil mendorong saya untuk melibatkan diri dalam Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) apabila berjaya menjejakkan kaki ke universiti tiga tahun lalu.
Demikin kata pelajar tahun empat Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Muhamad Fikri Hamidun ysng menerima Anugerah Terbaik Ketenteraan bagi kategori PALAPES Tentera Laut.
Menurutnya lagi, peluang belajar di universiti membolehkannya untuk menyertai PALAPES apabila gagal terpilih untuk melanjutkan pelajaran sebagai pegawai kadet tentera ketika tamat tingkatan lima dahulu.
“Walaupun tidak dapat meneruskan cita-cita saya untuk terus menceburi bidang tentera selepas tamat belajar dahulu, peluang yang ada sekarang digunakan dengan menyertai PALAPES Tentera Laut di USM,” tambahnya lagi.
Muhamad Fikri, 23, juga berharap selepas tamat belajar kelak, minatnya dalam bidang ini tidak akan hilang begitu sahaja sebaliknya akan meneruskan kerjaya sebagai Pegawai Graduan.
Pelajar yang berasal dari negeri Kedah ini berkata, menyertai PALAPES mengajar dirinya lebih berdisiplin selain mencabar dirinya untuk membahagikan masa di antara akademik dan aktiviti PALAPES.“Apa yang penting, tanamkan minat untuk merubah diri kerana melalui latihan-latihan mencabarlah yang membuatkan kita akan lebih bersedia menghadapi alam pekerjaan akan datang,” katanya.
Sementara itu, bagi Monica Chai Sze Ching, 24, walaupun dirinya merupakan segelintir pelatih PALAPES bukan Melayu, namun tidak rasa terasing malah semua rakan-rakan sepasukan seperti sebuah keluarga.
“Walaupun dalam kumpulan ini hanya saya satu-satunya pelatih berbangsa Cina, namun rakan-rakan lain tidak pernah meminggirkan saya. Malah mereka sering membantu saya untuk bertutur dalam bahasa Melayu dengan lebih fasih,” kata anak kelahiran jati negeri Sarawak ini lagi.
Bagi Monica, menyertai PALAPES Tentera Laut merupakan satu bidang yang diminatinya. Sejak di bangku sekolah lagi, dia turut menyertai Pasukan Kadet Bersatu Malaysia Laut. Oleh itu, minatnya diteruskan apabila melangkah ke menara gading.
“Dari kecil bapa saya sudah melatih saya berenang dan amat mementingkan disiplin terutamanya hidup berperaturan. Minat dan pengetahuan saya dalam aktiviti berenang saya manfaatkan apabila menyertai PALAPES Tentera Laut ini,” kata Penerima Anugerah Terbaik Akademik ini.
Monica pelajar tahun empat Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM, turut menyuarakan hasrat agar lebih ramai bukan Melayu menyertai PALAPES kerana ia banyak memberi kesan positif diri terutamanya dalam mengeratkan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Mereka ditemui selepas Majlis Makan Malam Rejimental Palapes USM bersempena dengan Pentauliahan Pegawai Muda Palapes yang telah diadakan di Universiti Putra Malaysia pada 15 Ogos 2015.
Yang hadir ialah Naib Canselor Profesor Dato' Dr. Omar Osman, Timbalan-Timbalan Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein, Timbalan Komandan Mejar Shahrizal Nazri, Ketua-Ketua Jurulatih dan barisan Pegawai Muda Palapes USM.
Teks: Syuhada bt Abd Aziz
Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 2064