USM TERIMA PENGIKTIRAFAN ANTARA TIGA FINALIS BEST ACADEMIA-INDUSTRY COLLABORATION AWARD 2015
KUALA LUMPUR, 13 November 2015 - USM-Toray Industries (M) Sdn Bhd menerima pengiktirafan apabila berada dalam tiga finalis Best Academia-Industry Collaboration Award 2015 bersempena dengan Malaysia 100 Leading Graduate Employers Awards Night 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) kelmarin.
Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dato' Dr. See Ching Mey berkata, ini tetap menjadi satu penghormatan yang diterima oleh USM untuk Best Academia-Industry Collaborations Awards sebagai hasil usaha gigih dan kerjasama antara pihak USM bersama industri terutamanya Toray.
"Ini merupakan satu pengiktirafan yang diberikan kepada USM yang menunjukkan bahawa kerjasama yang terjalin bersama industri mempunyai impak yang tinggi walaupun kita tidak terpilih sebagai yang terbaik," tegasnya.
Tambah Ching Mey, kriteria yang memberi USM kejayaan ini adalah program-program yang dijalankan bersama USM dan Toray antaranya ialah penempatan seramai 31 orang pelajar PP Sains Kimia, PP Kejuruteraan Kimia, PP Kejuruteraan Mekanikal dan PP Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral untuk latihan amali di Toray sejak dari tahun 2011.
"Selain itu, 43 pensyarah menerima geran dan anugerah yang berjumlah hampir RM 1.2 juta untuk penyelidikan dan pembangunan dari Toray Science Foundation, staf dari Toray terlibat dalam Jawatankuasa Pengiring Industri USM, pemberian biasiswa oleh Toray kepada 30 pelajar USM dan yang terakhir merupakan penajaan RM 4 juta untuk pembinaan bangunan Toray-USM Knowledge Transfer Centre yang akan dirasmikan pada 7 Disember 2015 nanti," ulasnya lagi.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Toray Industries (M) Sdn Bhd, Junji Kawakatsu pula berkata, ini adalah satu daripada usaha Toray yang terus menggembleng kepakarannya dalam penjanaan idea inovatif dan teknologi produk buat komuniti serta pembangunan sumber manusia yang merupakan antara aset penting buat negara.
Tambah Junji, disebabkan itu, Toray akan terus bekerjasama dengan USM pada masa hadapan untuk terus mendidik masyarakat tempatan dan juga menyumbang kepada komuniti dalam bidang kepakarannya mengikut kesesuaian.
Toray telah bekerjasama bersama USM sejak dari tahun 1998 dan saban tahun kerjasama antara kedua-dua pihak ini terus diperkukuhkan.
Antara tetamu kenamaan majlis adalah Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Tinggi, Profesor Dato' Dr. Asma Ismail, Pengarah Bahagian Perhubungan Industri Jabatan Pendidikan Tinggi, Profesor Madya Dr. Arham Abdullah, Pengarah dan Pengasas Kumpulan GTI, Adrian Wood dan Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp, Johan Mahmood Merican.
Majlis ini dianjurkan oleh GTI media dengan kerjasama Gradmalaysia, Careerbuilder Malaysia dan Malaysia Graduate Barometer 2015.
Teks & Foto: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 1049