BERDAYA SAING DAN DISIPLIN TINGGI PENENTU KEJAYAAN MAHASISWA, KATA NC
PULAU PINANG, 13 November 2015 – Kejayaan mahasiswa kini tidak sahaja dilihat dari segi intelektual tetapi mempunyai keupayaan berdaya saing serta tahap disiplin yang tinggi.
Bersesuaian dengan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang digubal secara komprehensif dan holistik demi melestari dan memperkasakan institusi pengajian tinggi, aspek tersebut menjadi agenda utama kayu pengukur kepada pegawai-pegawai muda dalam menentukan prospek masa hadapan mereka.
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, dalam perancangan negara menyediakan generasi baru hari ini, pemantapan minda dan fizikal mahasiswa haruslah diutamakan agar mampu mendokong amanah yang telah dipertanggungjawabkan.”Di samping semangat keperwiraan yang ditonjolkan, pegawai-pegawai muda perlulah sentiasa mendorong diri mereka untuk meningkatkan lagi semangat waja diri masing-masing.”
Berucap di hadapan hampir 115 Pegawai Muda Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) USM yang baru ditauliahkan sebagai Leftenan Muda, beliau menambah bahawa aktiviti Palapes yang dijalankan di Institusi Pengajian Tinggi Awam terutamanya USM memberikan latihan ketenteraan berjaya memperkukuhkan semangat patriotik, jati diri serta membentuk disiplin dan sahsiah yang tinggi.
“Saya berterima kasih kepada Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pendidikan Tinggi di atas usaha dan komitmen yang telah diberikan selama program ini dilaksanakan sehingga objektif dan matlamat yang digariskan pada awal penubuhan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan telah mampu dicapai dengan jayanya.”
Omar yang juga merupakan Komandan Palapes USM hadir sempena Majlis Makan Malam Rejimental Palapes USM yang berlangsung hari ini.
Turut hadir adalah Timbalan-Timbalan Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan, Profesor Dato Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein, Timbalan Komandan Mejar Shahrizal Nazri, Ketua-Ketua Jurulatih dan barisan Pegawai Muda Palapes USM.
Tambah Omar, di samping mempamerkan semangat waja diri, matlamat negara juga ingin melahirkan pegawai-pegawai tentera yang berpendidikan serta mempunyai kepakaran yang tinggi baik dalam bidang ketenteraan mahupun teknologi.
“Menerusi slogan Palapes USM iaitu “Sentiasa Memimpin” perlu sentiasa terpahat dalam diri pegawai muda sekalian kerana di sinilah sebenarnya lahir disiplin dan kecekapan dalam diri pegawai muda.”
“Oleh itu, anda yang dilahirkan dari universiti tercinta ini harus membuktikan bahawa diri anda adalah yang terbaik kerana mempunyai kelebihan khususnya dari sudut ilmu ketenteraan yang penuh disiplin, daya tahan, semangat juang serta semangat berpasukan berbanding mahasiswa yang lain.”
Omar turut menyeru agar semua pegawai muda Palapes USM menjadikan diri masing-masing contoh teladan sebagai pemimpin yang disegani seterusnya berupaya memartabatkan angkatan tentera dalam usaha untuk menarik lebih ramai anggota sukarela mahupun anggota tetap.
Majlis Makan Malam Rejimental Palapes USM diadakan bersempena dengan Pentauliahan Pegawai Muda Palapes yang telah diadakan di Universiti Putra Malaysia pada 15 Ogos 2015.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1043