USM LAHIRKAN PROFESOR TERBAIK DALAM PENGKOMERSIALAN
PULAU PINANG, 12 November 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pejabat Inovasi dan Pengkomersialan (ICO) dengan kerjasama USAINS Holdings Sdn Bhd (USAINS) bakal melahirkan ahli akademik dan juga profesor terbaik dalam bidang pengkomersialan hasil penyelidikan.
Demikian kata Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr Omar Osman ketika berucap di majlis penandatanganan Perjanjian Pengkomersialan dan Perlesenan yang julung-julung kalinya diadakan bersama tiga buah syarikat yang telah bekerjasama dan membantu dalam mengkomersialkan hasil penyelidikan pensyarah USM.
“Dalam jangka masa lima tahun lagi, USM akan meningkatkan dua kali ganda nilai penjanaan pendapatan hasil daripada pengkomersialan dan perlesenan melalui USAINS,” kata Naib Canselor.
“Walaupun penyelidikan dapat membantu dalam meningkatkan penjanaan kewangan serta menjadikan pensyarah ahli perniagaan namun dalam masa yang sama para pensyarah diharap tidak mengabaikan tugas hakiki sebagai ahli akademik.
“USAINS akan membantu dalam mendidik para pensyarah supaya dapat bekerja bersama-sama dengan pihak industri dan membawa USM ke satu tahap yang lebih tinggi,” tambah Omar.
Menurut Pengarah Urusan USAINS, Edwin Jose Gomes, pihaknya akan terus berusaha untuk membangunkan harta intelek dan menjana pengetahuan baru bagi meningkatkan ke tahap global.
“USAINS akan terus meningkat usaha dan komitmen bagi mencapai apa yang diinginkan serta mengukuhkan hubungan dengan pelbagai pihak terutama dengan USM dan juga industri.
Tiga syarikat yang bekerjasama hari ini ialah Orchid Life Sdn Bhd, Vindustries Sdn Bhd dan YS Biotechnologies.
Orchid Life Sdn Bhd yang bekerjasama dengan Profesor Dr. Zhari Ismail dari Pusat Pengajian Sains Farmasi dalam ujian klinikal produk Lebeesity yang berasaskan herba Kacip Fatimah bagi membantu Pengurusan Berat Badan dan juga Anti-Obesiti.
Vindustries Sdn Bhd pula berkerjasama dengan Profesor Madya Engr. Dr. Shahrel Azmin Suandi pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dalam pemasaran Face Biometric for Attendence Recording System (FaceBARS), satu alat pengesanan muka manusia bagi merekodkan kehadiran dan akses pintu masuk ke sesuatu kawasan atau Pejabat.
Manakala YS Biotechnologies melabur sebanyak lebih RM15 juta dalam mendirikan serta melengkap makmal penghasilan sacara besar-besar Palm Oil Based Biodegradable Copolymer kepada produk bioresin bersama Profesor Dr. K Sudesh Kumar C. Kanapathi Pillai dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat.
Hadir dan menandatangani perjanjian adalah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BWYS Kang Beng Hai, Pengarah Orchid Life Sdn Bhd Abdul Razak Mohd Isa, Pengarah Vindustries Sdn Bhd dan Pengarah ICO, Professor Dr. Rahmat Awang. Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan bersama Dekan Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Profesor Madya Ahmad Sofiman Othman dan Dekan Pusat Pengajian Sains Farmasi, Profesor Dr. Munavvar Zubaid Abdul Sattar.
Teks: Nor Rafizah Md Zain
Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1258