PASUKAN BOLASEPAK VETERAN USM DIRAIKAN SEMPENA JOHAN SUKUM 2015
PULAU PINANG, 5 November 2015 – Sempena meraikan kejayaan pasukan bolasepak veteran Universiti Sains Malaysia (USM) yang menjuarai kejohanan sukan staf (SUKUM 2015) baru-baru ini di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, satu jamuan makan malam penghargaan dianjurkan kepada para pemain dan pihak pengurusan.
Timbalan Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan dalam ucapan ringkasnya berkata, kejayaan pasukan memenangi pingat emas membuktikan semangat dan skil orang lama masih berbisa."Sebagai bekas pemain yang pernah sama-sama beraksi bersama satu ketika dahulu, saya amat bangga dengan komitmen semua pemain, yang membuktikan umur bukan penghalang dalam mencapai kejayaan."
Katanya lagi, walaupun rata-ratanya pemain yang beraksi adalah dalam lingkungan umur 40 tahun ke atas, amat penting bagi pemain veteran terus mengekalkan kecergasan dalam usaha memastikan momentum pasukan sentiasa di tahap terbaik, walaupun kejohanan ini hanya dianjurkan setahun sekali.
Pendapat sama turut dikongsi oleh pengurus pasukan, Profesor Dr. Abdul Razak Ibrahim dan Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria yang menyifatkan kejayaan sesuatu pasukan bukan hanya bergantung kepada nasib semata-mata, tetapi juga kerana usaha dan disiplin tinggi yang sentiasa menjadi pegangan utama setiap yang terbabit.
Sambil menyampaikan rasa terima kasih dan penghargaan buat semua yang hadir, mereka juga amat terharu dengan sokongan tak berbelah bagi dan suntikan daripada segi dana, mahupun barangan yang ditaja oleh badan-badan korporat.
Turut hadir memeriahkan majlis adalah Pengarah Jaringan Komuniti, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Tuan Syed Yusof Syed Kechik, Profesor Dr. Wan Saime Wan Ngah daripada Pusat Pengajian Sains Kimia dan hampir 80 tetamu jemputan termasuk dari Kampus Kejuruteraan dan Kampus Kesihatan.
Teks: Mohamad Danial Shahri
- Created on .
- Hits: 1173