TAPAK ARKEOLOGI SUNGAI BATU SEBAGAI TAMADUN TERTUA ASIA TENGGARA JADI PRODUK PELANCONGAN NEGERI KEDAH
SUNGAI PETANI, 11 November 2015 – Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Mokhtar Saidin berkata kerajaan negeri Kedah sewajarnya memperkenalkan Sungai Batu dan Sungai Merbok sebagai tarikan utama di negeri Kedah dalam agenda utama promosi Tahun Melawat Kedah 2016. Apatah lagi, data terkini Sungai Batu yang baharu disahkan menunjukkan kawasan ini ialah penempatan tamadun tertua Asia Tenggara.
“Baru dua bulan yang lepas, kami mendapat pentarikhannya ialah kurun ke-enam sebelum masihi (SM) dan kini sudah jelas bahawa Sungai Batu ialah tapak tamadun tertua Asia Tenggara dan juga tempat permulaan tamadun untuk rantau ini,” jelasnya.
Tambah Mokhtar, USM sangat berharap supaya kerajaan negeri Kedah akan membawa data ini sebagai satu produk pelancongan di mana semua rakyat akan dapat faedahnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kedah Tourism, Dato’ Zulkifli Mohamad berkata, usahasama di antara Kementerian Pelancongan Malaysia dan Kerajaan Negeri Kedah dalam memperkenalkan Tapak Arkeologi Sungai Batu ini sebagai salah satu produk pelancongan di negeri ini.
"Sebelum ini pelancong yang datang ke Kedah akan tertumpu di Langkawi sedangkan banyak produk-produk pelancongan yang lain disediakan di tanah besar Kedah," katanya.Menurut Zulkifli, kerajaan negeri sedang giat mempromosikan Tahun Melawat Kedah 2016 ‘Discover Kedah’ selain berusaha menjadikan Gunung Jerai dan kawasan Sungai Batu sebagai produk pelancongan kedua selepas Langkawi.
“Penemuan-penemuan bersejarah di Sungai Batu dan Lembah Bujang serta destinasti sukan ekstrim di Gunung Jerai sesuai dijadikan produk pelancongan baharu bagi menarik lebih ramai pelancong ke Kedah tahun hadapan,” tambah Zulkifli.
Jelas beliau, ini merupakan titik permulaan dalam mempromosikan Tapak Arkeologi Sungai Batu ini yang telah terbukti mempunyai sejarahnya yang tersendiri sebagai satu tempat pelancongan bukan sahaja untuk pelancong asing, tetapi juga untuk masyarakat tempatan.
“Rakyat negeri ini juga masih ada yang belum mengetahui tentang kewujudan tempat bersejarah ini. Saya harap dengan adanya aktiviti untuk mempromosikan tapak ini dapat menarik lebih ramai pelancong tempatan dan juga luar negara pada tahun hadapan,” jelas Zulkifli ditemui selepas sesi lawatan para pengamal media dan agensi pelancongan antarabangsa di sini.
Seramai 152 orang pengamal media dan agensi pelancongan yang melibatkan 29 buah negara. Program di bawah Mega Familiarisation Programme anjuran Tourism Malaysia itu disertai oleh peserta dari Australia, China, Korea, India, Indonesia dan Amerika Syarikat untuk mempromosikan pakej pelancongan yang ditawarkan di Malaysia.
Lawatan selama tiga hari ini membawa mereka melawat tempat-tempat menarik di Negeri Kedah seperti Muzium Padi, Gunung Jerai dan Langkawi selain turut memperkenalkan budaya masyarakat India sempena Sambutan Rumah Terbuka Deepavali 2015 peringkat kebangsaan di Padang Awam, Kulim.
Bagi Editor Akhbar Medan Bisnis, Indonesia, Rizanul berkata, perjalanannya pada kali ini membawa kelainan apabila dibawa melawat tapak-tapak bersejarah yang banyak memberi pengetahuan kepadanya di samping memperolehi pengetahuan baharu tentang sejarah tamadun Asia Tenggara.
“Tapak Arkeologi Sungai Batu ini mampu dijadikan sebagai sebuah kawasan pelancongan bersejarah kepada pelancong asing. Di samping itu, kerajaan dapat menaik taraf kawasan ini supaya lebih sesuai dijadikan kawasan pelancongan dengan menyediakan kemudahan asas untuk keselesaan para pelancong,” katanya lagi.
Manakala bagi agen pelancong dari Beijing China, Su Lin berkata, kawasan tapak bersejarah ini bakal dijadikan salah satu produk pelancongan untuk agensinya apabila membawa pelancong ke negara ini kelak.
“Sudah tujuh tahun saya lebih mengutamakan kawasan pelancongan laut di Malaysia seperti Langkawi kepada para pelacong dari Beijing, namun tempat bersejarah ini akan menjadi salah satu tempat baharu untuk dilawati apabila membawa pelancong nanti,” Jelasnya.
Teks: Syuhada bt Abd Aziz
- Created on .
- Hits: 1736