USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROJEK KOMUNIKASI@USM – BANTU OKU

1ygyh

PENGKALAN CHEPA, 9 November 2015 – Projek Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM) bersama Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK) yang dianjurkan oleh pelajar tahun akhir kursus Komunikasi Pemujukan berusaha meningkatkan kesedaran komuniti terhadap kebajikan, kelestarian dan kewangan melalui hubungan antara organisasi kerajaan dan badan-badan NGO serta orang perseorangan bagi membantu golongan orang kurang upaya.

Pada masa yang sama ia juga memberi pendedahan kepada para pelajar bagi mencari langkah-langkah yang sesuai untuk membantu golongan orang kurang upaya ini.

Perasmian projek ini dilakukan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato’ Sabariah Hassan yang disambut dengan persembahan gendang dan tarian dari peserta YOKUK.

"Komitmen yang tinggi oleh pihak USM khususnya dari para pelajar dalam usaha murni ini mampu membantu menyumbang ke arah pembangunan pada masa akan datang kerana komuniti seperti bakal graduan ini mampu membantu negara mencapai negara maju pada masa hadapan.

"Sokongan dan kerjasama pihak USM amat baik dan menjadi contoh kepada organisasi-organisasi dan syarikat korporat dalam menjayakan program sebegini, malah pihak kerajaan sentiasa membantu dan akan cuba menambah peruntukan bagi membantu golongan OKU," kata Sabariah.

Menurut Pengerusi YOKUK, Datin Suliana Shamsuddin Alias, YOKUK merupakan sebuah yayasan kebajikan yang ditubuhkan sejak 17 tahun lalu untuk membantu mengurangkan beban golongan orang kurang upaya (OKU).

“Matlamat utama adalah untuk membantu meningkatkan kualiti hidup OKU yang lebih positif di samping menjalankan aktiviti terapi dan pemulihan yang dilakukan melalui lawatan rumah ke rumah dengan kaedah-kaedah tertentu.

“Kini terdapat lebih dari 4,000 orang OKU yang telah mendaftar sebagai ahli YOKUK dan menerima perkhidmatan secara percuma yang dikendalikan oleh 23 orang staf tetap antaranya seorang Pengurus Besar, lima orang Fisioterapi, lima orang Jururawat, seorang Juruteknik Komputer, Akauntan dan selebihnya pekerja am. Bagi merialisasikan tujuan murni ini kami mengharapkan sumbangan dari pihak luar bagi turut sama membantu terutamanya dari segi kewangan,” ujarnya.

Menurut Pengarah Kampus Kesihatan USM Profesor Dato’ Dr. Mafauzy Mohamed, pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Komunikasi telah diberi peluang dan tanggungjawab bagi membantu OKU dalam bidang yang dipelajari seperti kemahiran penerbitan.

"Konsep komunikasi pemasaran bersepadu yang memberi peluang kepada mereka sebelum melangkah ke alam pekerjaan sebenar adalah dengan mempromosikan YOKUK kepada badan-badan bukan kerajaan seperti badan NGO serta orang awam.

“Semoga dengan projek yang dilakukan oleh para pelajar ini dapat menaikkan profail yang lebih baik dan secara tak langsung dapat mempromosikan amalan menderma kepada semua pihak bagi membantu golongan OKU terutamanya YOKUK amnya,” katanya berucap pada program tersebut.

3jhfh

Menurut Pengarah Projek Komunikasi@USM-YOKUK, Gwen Lim Sor Wen, program kemuncak projek ini ialah majlis makan malam yang akan diadakan di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC) pada 13 Disember 2015.

“Antara program yang akan berlangsung ialah persembahan istimewa dari peserta OKU, acara ‘Silent Auctions’ dan kutipan amal yang akan disalurkan kepada YOKUK,” katanya.

2yvgh

Yang turut hadir ialah Dekan Pusat Pengajian Komunikasi Profesor Madya Dr. Jamilah Haji Ahmad, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Jaringan PPSP Profesor Dr. Dinsuhaimi Sidek, Ketua Jabatan Neurosains Profesor Dato’ Dr. Jafri Malin Abdullah, Ketua Jabatan Pediatrik Profesor Dr. Hans Amin Van Rostenberghe dan beberapa orang pensyarah lagi.

Teks: Abdul Aziz Latif

Foto: Muhd Zulkifli Zakaria

  • Created on .
  • Hits: 1333

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024