USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

JURURAWAT AGEN PERUBAHAN

KUBANG KERIAN, 8 November 2015 - Peranan jururawat tidak boleh dipandang mudah kerana mereka adalah tenaga profesional yang menjadi barisan hadapan dalam memberikan rawatan kepada pesakit.

Menurut Penolong Pengarah Kanan Unit Kejururawatan, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Raudzah Ariffin, jururawat perlulah menjadi agen perubahan kepada pesakit ke arah yang lebih positif sekaligus menunjukkan betapa pesakit memerlukan perkhidmatan jururawat dan semestinya aspek kualiti perkhidmatan merupakan aspek yang perlu dititikberatkan dalam melaksanakan tugas.

"Jururawat bukan sahaja perlu melayan kehendak pesakit tetapi perlu juga berdepan dengan ahli keluarga pesakit yang kadangkala mencabar dan emosional,” kata Raudzah ketika merasmikan Majlis Makan Malam Unit Kejururawatan HUSM baru-baru ini.

Tambah Raudzah lagi peranan jururawat juga semakin berkembang maju selaras dengan peredaran masa dan kini di HUSM telah mempunyai seramai 159 orang jururawat lelaki daripada 1,435 orang jururawat.

“Pada masa kini juga, jururawat boleh dikatakan menerima ‘autonomi’ dalam penyediaan nursing diagnosis untuk mengenal pasti masalah pesakit dan merancang keperluan pesakit serta tidak hanya menerima arahan daripada doktor,” kata Raudzah.

"Saya yakin tahap profesionalisme yang ditonjolkan oleh jururawat amat tinggi dan saya berharap supaya hal ini akan terus meningkatkan lagi tahap perkhidmatan dan toleransi serta kesabaran dalam menjalankan tugas," tambahnya lagi.

Turut hadir ke majlis ini ialah kerabat DiRaja Kelantan iaitu YBM Tengku Dato’ Hajjah Rozan Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra dan YBM Tengku Dato Hajjah Salwani Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra serta Pengarah Kampus Kesihatan, Profesor Dato’ Dr Mafauzy Mohamed, Pengarah HUSM, Dato’ Dr Zaidun Kamari serta pengurusan tertinggi HUSM.

Teks: Wan Mohd Rashidi Wan Mood

Foto: Wan Ahmad Nizamuddin Wan Sukri

  • Created on .
  • Hits: 931

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024