USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

IBUBAPA PERLU DALAMI PERKHIDMATAN ANAK BERKEPERLUAN KHAS

IMG 9013

KUBANG KERIAN, November 2015 – Ibu bapa yang mempunyai anak berkeperluan khas perlu tahu tentang perkhidmatan sama ada yang ditawarkan oleh badan-badan kerajaan, swasta atau pertubuhan-pertubuhan sukarela untuk lebih memahami serta mendapat khidmat sokongan dari segi moral dan material.

Ibu bapa boleh mengambil peranan untuk menganggotai organisasi-organisasi yang menyediakan perkhidmatan khas untuk kanak-kanak cacat dan bermasalah agar dapat berhubung dengan pihak berkenaan dalam mengaturkan keperluan-keperluan khas untuk anak-anak.

Menurut Pensyarah Perubatan dan Pakar Psikiari, Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM), Dr. Norzila Zakaria dalam Program Seminar Keibubapan Anak-anak Berkeperluan Khas berkata, setiap ibu bapa mengharapkan anak yang dilahirkan sempurna dan sihat, namun tidak ada siapa dapat menentukan sama ada anak yang dianugerahkan sempurna atau tidak namun harus diterima dengan hati reda sebagai anugerah Allah SWT yang tidak ternilai.

“Mempunyai seorang anak istimewa menjadikan seseorang ibu atau bapa itu tergolong dalam kelasnya yang tersendiri dengan situasi yang berlainan, bergantung kepada jenis keistimewaan anak yang lahir,” kata Norzila.

Sementara itu, Pegawai Penerangan, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Negeri Kelantan (LPPKN), Nor Hamimi Jalil pula berkata, program ini adalah untuk mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran keibubapaan dengan melihat pendekatan pengurusan emosi sejajar dengan gaya hidup moden dalam mengimbangi kejayaan dan keluarga.

“Pada masa kini semakin ramai pelajar istimewa di Malaysia merangkumi pelajar Sindrom Down, Autisme, Hiperaktif, Hipoaktif, Serebral Palsi Disleksia, Dispraksia dan sebagainya.

“Perkara ini menunjukkan satu pengurusan yang baik dan teratur diperlukan demi membimbing anak-anak ini dalam menimba ilmu pengetahuan,” jelasnya lagi.

Tambah Nor Hamimi, tugas dan tanggungjawab menjadi ibu bapa bagi kanak-kanak istimewa ini amat berat dan tentunya akan memperolehi ganjaran termasuk menjadi sumber inspirasi, kebanggaan dan sumber peribadi yang sukar dipenuhi oleh kejayaan lain yang hakikatnya amat mencabar.

Seramai 300 penjawat awam dan staf USM hadir dalam seminar sehari ini di Pejabat FAMA wilayah timur & RTC Kelantan.

Teks: Anawiah Abdul Aziz

Foto: Shazleen Hashim

  • Created on .
  • Hits: 1503

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024