USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

'FREE TOBACCO FOOD' DIDIK WARGA KAMPUS AMALKAN GAYA HIDUP SIHAT

PULAU PINANG, 5 November 2015 – Menyedari hakikat bahayanya kesan tembakau terhadap kesihatan, Sekretariat Eco-Desa Saujana Universiti Sains Malaysia (USM) bersama-sama MySihat USM menganjurkan program ‘Free Tobacco Food’ hari ini.

Pemangku Naib Canselor yang juga Timbalan Naib Canselor Bahagian Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan dalam ucapan perasmiannya berkata, program ini dianggap sebagai satu mekanisme bagi memperkenalkan gaya hidup sihat dan sejahtera kepada seluruh warga kampus.

“Saya ingin menyeru, khususnya kepada warga USM bahawa program ini sememangnya dirangka khas untuk memberikan satu bentuk penghargaan kepada kita semua kerana berjaya mengamalkan budaya USM Bebas Tembakau di samping memberikan sokongan padu kepada warga USM untuk terus hidup dalam persekitaran yang bersih dan sihat,” tambah Muhamad lagi.

“Bersesuaian dengan tema yang menggabungkan ‘Tobacco Free dan ‘Free Food’, program ini turut mendidik warga USM dalam menjaga kelestarian untuk universiti yang kita cintai,” katanya di hadapan kira-kira 300 warga USM.

Sementara itu, Pengarah Projek 'Free Tobacco Food', Thang Mei Xin, 21, berkata, objektif program ini adalah untuk menimbulkan kesedaran kepada warga USM tentang bahayanya merokok terutamanya bahaya asap rokok basi.

“Kami juga ingin terapkan tentang kesedaran bahayanya penggunaan plastik dan menggalakkan penggunaan bekas makanan dalam kalangan pelajar USM,” katanya yang juga merupakan pelajar tahun dua Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan.

Mei Xin bersyukur kerana projek ini mencapai matlamat serta mendapat sambutan yang amat baik daripada warga USM khususnya pelajar tahun pertama, serta berharap akan diteruskan pada masa akan datang.

Bertempat di Dewan Utama Pelajar USM, antara aktiviti yang dijalankan selama sehari ini termasuklah kempen derma darah, pemeriksaan kesihatan, pameran kesihatan dan pemberian bekas makanan secara percuma kepada para pengunjung.

Yang turut hadir dalam majlis perasmian ialah Pengerusi Sekretariat Bebas Tembakau merangkap Pengarah Pejabat Inovasi dan Pengkomersialan Profesor Dr. Rahmat Awang serta pegawai-pegawai utama universiti.

Teks: Syuhada Abd Aziz

Foto: Muhammad Firdaus Khiruddin

  • Created on .
  • Hits: 1251

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024