APEX SCHOLAR SASAR LAHIRKAN SISWAZAH HOLISTIK
PULAU PINANG, 7 November 2015 – Program APEX Scholar sebagai sebahagian daripada Program Pemacuan untuk Kecemerlangan (APEX) mensasarkan usaha untuk melahirkan siswazah holistik dengan berfokuskan kepada pelajar yang berpotensi tahap tinggi dalam akademik dan pelbagai bidang lain.
Hari ini, proses pemilihan calon untuk mengikuti program ini berlangsung di kampus USM Pulau Pinang yang melibatkan seramai 132 orang pelajar dan lebih 32 orang penemuramah yang melibatkan wakil pelbagai jabatan di USM dari dalam kalangan pensyarah mahu pun pegawai pentadbir.
Naib Canselor Univesiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, antara aktiviti yang dirancang di bawah Program APEX Scholar ialah internship, sangkutan atau ‘semester abroad’ di luar negara yang akan dilaksanakan melalui kerjasama dengan universiti-universiti yang dikenalpasti termasuk dari Thailand, Jepun, Australia dan beberapa negara lain terutamanya ahli-ahli Asia Pacific University-Community Engagement Network (APUCEN) serta universiti yang mempunyai hubungan dengan USM melalui MoU dan MoA.
“Kita sedang mengenal pasti dan akan berunding dengan beberapa agensi dan badan-badan korporat untuk membiayai program ini secara berpanjangan dengan jangkaan pemilihan seramai 100 orang pelajar sebagai permulaan berdasarkan proses yang dibuat untuk mencapai tahap akademik dan kecemerlangan yang tinggi,” kata Omar.
Tambahnya lagi, dana untuk melaksanakan program ini akan menggunakan Peruntukan Apex biayaan dalaman dan luar.
Program APEX Scholar berusaha melaksanakan program pembangunan strategik intelek dan kepimpinan pelajar, mensasarkan pengembangan bakat dan motivasi tinggi dalam kalangan mereka serta membangunkan perwatakan (character) dan intelek pelajar secara berterusan.
Di samping itu program ini juga berusaha membangunkan potensi pelajar sebagai pemimpin dan pemikir masa hadapan yang bersetminda global serta meningkatkan pengalaman pembelajaran yang menyeluruh untuk perkembangan diri dan kerjaya mereka yang dilakukan secara menyeluruh melibatkan pelbagai pihak dari dalam mahu pun luar universiti.
Program ini digerakkan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein bersama-sama pegawai-pegawainya, Pusat Kecemerlangan Akademik, Penasihatan dan Pembangunan Pelajar (CDAE), para penggawa desasiswa serta pelbagai persatuan dan pertubuhan pelajar termasuk Majlis Perwakilan Pelajar USM.
Menurut Adnan, Program Apex Scholar diharapkan dapat melahirkan pelajar cemerlang dari segi akademik, holistik mempunyai minda global dan paling utama yang mempunyai jati diri utk membangunkan negara atau nation builders.
"Modul Apex Scholar bermatlamat mengasah bakat ke arah kecemerlangan yang merangkumi domain pembelajaran dan latihan yang holistik meliputi aspek berkaitan kreativiti dan inovasi, pemikiran kritis dan analitis, kepekaan terhadap seni, sejarah dan kemanusiaan dan nilai patriotisme, kemahiran insaniah dan kepimpinan," kata Adnan.
Enam modul yang dibangunkan ialah modul kepimpinan, pengurusan dan pembangunan peribadi; modul pengajian global dan antara budaya, modul yang berkaitan seni, kemanusiaan, sejarah, budaya dan masyarakat, modul Sains, Teknologi, Inovasi dan Kesusahawanan (SITE), modul pembudayaan nilai dan modul komunikasi, bahasa, penulisan dan pemikiran.
Sementara itu, Timbalan Pengarah CDAE Profesor Dr. Hanafi Atan berkata, pihaknya terlibat secara langsung dalam proses pemilihan dan pembangunan modul program ini.
“Kami mendapat kerjasama rapat dengan kepakaran mereka yang telah melaksanakan kaedah atau Model Multiple Mini Interview (MMI) dalam pemilihan pelajar Sains Perubatan yang difikirkan sangat sesuai untuk digunakan juga bagi proses pemilihan calon Program APEX Scholar ini,” kata Hanafi yang ditemui ketika sesi pelaksanaan MMI di sini.
Siswazah yang lahir dari Program APEX Scholar ini diharapkan dapat menguasai 14 nilai utama yang diterapkan antaranya ialah nilai moral dan etika yang tinggi, menguasai daya pemikiran dan kepimpinan, mampu menjana idea dan menyelesaikan masalah serta lain-lain yang berkaitan dengan kemahiran diri yang perlu dalam usaha penjanaan bakat yang dapat membangun dan membina negara pada masa hadapan.
Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1146