MMI BERUPAYA PILIH YANG TERBAIK
PULAU PINANG, 7 November 2015 - Universiti Sains Malaysia (USM) adalah satu-satunya universiti di negara ini yang menggunakan model atau mekanisme pemilihan calon-calon pelajar yang dikenali sebagai Multiple Mini Interview (MMI) yang sebelum ini digunakan dalam pemilihan calon pelajar Sains Perubatan yang dikatakan mampu untuk memilih calon yang terbaik.
Ditemui ketika pertama kali menjalankan proses pemilihan calon Program APEX Scholar pagi ini, pensyarah di Pusat Pengajian Sains Perubatan selaku perunding penggunaan MMI Dr. Muhamad Saiful Bahri Yusoff berkata, MMI telah digunakan sejak tahun 2005 di United Kingdom dan Amerika Syarikat terutamanya di universiti-universiti terkemuka di sana untuk memilih calon-calon pengajian yang sesuai yang didapati berkesan untuk mendapatkan yang terbaik.Turut bersama-sama Muhamad Saiful ialah pensyarah Pusat Pengajian Sains Perubatan Dr. Ahmad Fuad Abdul Rahim yang turut terlibat pelaksanaan MMI.
“Kami mengubahsuai atribut mengikut keperluan Program APEX Scholar dengan melibatkan pelbagai pihak dalam menguji kemahiran pelajar yang menekankan bukan hanya kepada pengetahuan tetapi juga 9 aspek lain berbanding dengan temuduga biasa,” kata Muhamad Saiful.Antaranya ialah kemahiran berbahasa, pengetahuan yang khusus, pemikiran kritikal dan penyelesaian masalah, kesedaran etika, nilai dan budaya kemahiran komunikasi, kepimpinan/membuat keputusan, bakat istimewa dan kerja berpasukan.
MMI menggunakan 7 stesen yang berasingan secara berterusan secara bergilir dan bergerak dari satu stesen ke satu stesen tanpa menimbulkan kebosanan kepada calon yang menguji kemahiran pelajar dan keupayaan bekerja dalam pasukan tanpa menyedari yang mereka sedang dinilai.
“Kaedah ini sesuai kerana berdasarkan beberapa kajian yang dibuat di luar negara, calon-calon dipilih adalah lebih tepat dengan penerimaan yang sangat baik malah maklumbalas daripada pelajar Sains Perubatan USM yang melalui pengalaman ini memberitahu kaedah ini adalah terbaik untuk memilih pelajar pada masa hadapan, telus, ringkas dan paling penting pergerakan perjalanan sangat efisyen, habis serentak, tidak terlalu lama dan tidak terlalu panjang yang pada akhirnya kita berupaya melihat kepelbagaian keupayaan dan kemahiran yang diharapkan menghasilkan calon yang mempunyai kualiti dan impak pendidikan yang sangat memberangsangkan,” kata Muhamad Saiful.
Tambahnya, dengan kualiti yang mencapai satu tahap yang baik tentu sahaja hasilnya juga diharapkan baik dengan melahirkan siswazah yang lain daripada mereka yang tidak mengikuti APEX Scholar yang dengan sokongan semua pihak, kita yakin APEX Scholar mampu hasilkan produk yang diharapkan.
Usaha ini akan dipantau, diteliti dan dilakukan penambahbaikan yang berterusan pada masa hadapan untuk menjadikan model yang digunakan ini lebih baik dan berkesan,” kata Muhamad Saiful.
Teks: Mohamad Abdullah
Foto: Dzulfikar Azmi Muhamad Aripin
- Created on .
- Hits: 1138