SJK (C) KONG MING CAWANGAN KEDUA JUARA KUIZ AIR 2015
PULAU PINANG, 7 November 2015 - Pelajar tahun enam Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Kong Ming Cawangan Kedua menjuarai pertandingan kuiz air antara sekolah rendah Pulau Pinang 2015 yang berlangsung di Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini.
Mereka adalah How Gen Zhuang, Lee Yong Xing, Moey Yee Li dan Devlyn Khew Xin Yi dan diiring oleh guru, Lee Chai Hooi yang membawa pulang pingat dan juga sijil penyertaan.
Lee melahirkan rasa gembira kerana para pelajarnya dapat merangkul tempat pertama dalam pertandingan tersebut dan berharap akan dapat bertanding lagi pada tahun akan datang.
"Kami menghantar dua pasukan untuk pertandingan kali ini dan kedua-duanya berjaya memasuki pusingan akhir namun satu pasukan sahaja mendapat tempat tiga terbaik," kata Lee.
"Saya terkejut dan gembira menang dalam pertandingan ini hasil usaha kami membaca nota yang diberikan dan melayari laman sesawang yang berkaitan," kata Devlyn, ketua pasukan.
Menurut Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Jaringan), Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM, Profesor Dr. Chan Ngai Weng sebanyak 20 pasukan menyertai pertandingan kali ini yang dianjurkan oleh USM bersama Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA) dan Water Watch Penang (WWP).
"Pertandingan ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran para pelajar sekolah rendah mengenai kepentingan air dalam kehidupan serta melahirkan masyarakat yang mengambil berat tentang kepentingan air," kata Chan yang juga merangkap Presiden WWP.
"Saya berharap pertandingan seperti ini dipertandingkan di peringkat kebangsaan dan diwakili oleh pemenang di peringkat negeri di seluruh Malaysia," tambah Chan.
Kuiz tersebut dibahagikan kepada tiga kategori iaitu soalan global, kebangsaan dan juga negeri.
Pemenang tempat kedua ialah sekolah Sekolah Rendah Convent Green Lane dan tempat ketiga ialah Sekolah Shang Wu.
Teks: Nor Rafizah Md Zain
- Created on .
- Hits: 1284