USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DUA KUMPULAN KIK USM WAKIL NEGARA KE PERINGKAT ANTARABANGSA

PULAU PINANG, 5 November 2015 – Dua daripada tiga kumpulan Kreatif dan Inovatif (KIK) yang dihantar oleh Universiti Sains Malaysia (USM) bertanding dalam Konvensyen Kecemerlangan Berpasukan Kebangsaan 2015 yang berlangsung di Sunway Hotel Resorts and Spa Kuala Lumpur pada 2 – 4 November 2015 terpilih mewakili negara sebagai 10 pasukan yang akan mengambil bahagian dalam pada peringkat antarabagsa dalam majlis yang dihadiri oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Lee Chee Leong.

Pasukan yang dihantar mengambil bahagian dalam pertandingan yang disertai oleh 218 kumpulan yang mewakili 158 organisasi ialah Kumpulan KIK Beyond Rehab dari Hospital USM, Kumpulan KIK Galaksi R3 dan Kumpulan Fast, kedua-duanya dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM.

Ketiga-tiganya berjaya mendapat Emas 3 bintang. Dua daripadanya iaitu Kumpulan KIK Galaksi R3 dinobatkan sebagai Naib Johan Keseluruhan bagi kategori Perkhidmatan Awam peringkat Kebangsaan dengan membawa pulang RM3,000 serta dinobatkan sebagai 10 kumpulan terbaik dan Kumpulan KIK Beyond Rehab turut berada dalam 10 kumpulan terbaik dengan kedua-duanya berpeluang mengambil bahagian dalam  International Innovative and Creative Circle Convention 2016.

Kumpulan Galaksi R-3 menghasilkan Medi-Bike Exerciser yang merupakan alat senaman gabungan untuk anggota atas dan anggota bawah supaya aktiviti senaman boleh dijalankan serentak yang mesra pengguna, mudah alih, mampu milik dan telah diperakui selamat digunakan terhadap pesakit dan pengguna lain.

Ketua Kumpulan Galaksi R-3, Muhammad Akasyah Baharum berkata, idea ini terhasil berdasarkan statistik pesakit yang diperoleh menunjukkan peningkatan dalam membantu pesakit berbanding dengan sistem pengurusan pesakit sedia ada yang tidak sejajar dengan prinsip pengurusan Lean.

“Banyak proses rawatan mengambil masa yang lama yang membebankan pesakit dan staf unit di sini menyebabkan proses pemulihan menjadi lambat, maka sesuatu perlu dilakukan agar kecekapan unit kami sejajar dengan misi IPPT USM dapat dipertingkatkan,” katanya.

Dengan terciptanya alat ini, masa rawatan berjaya dikurangkan dengan mengekalkan kualiti rawatan yang sama, lebih ramai pesakit dapat menjalani rawatan, pemulihan yang lebih cepat, dan strukturnya yang ringkas serta boleh dilaras mengikut kedudukan dan ketinggian pesakit bukan sahaja dapat memberikan keselesaan kepada pesakit tetapi juga dapat mengekalkan postur tubuh badan yang ergonomik.

Muhammad Akasyah berkata, pasukannya amat bersyukur dengan kemenangan ini yang merupakan kejayaan terbaik USM apatah lagi Galaksi R-3 menjadi kumpulan pertama dari USM yang menjadi Naib Johan untuk kategori sektor awam.

“Kami juga layak mewakili Malaysia untuk ke peringkat antarabangsa dan merancang untuk memperluaskan penggunaan inovasi ini yang akan menitikberatkan “clinical research” dan yang paling penting untuk membudayakan pemikiran kreatif dalam menyelesaikan masalah di unit kami khasnya serta IPPT amnya,” ujar Jurupulih Perubatan ini.

Unit Rehabilitasi IPPT beperanan memberi perkhidmatan perawatan dan pemulihan kesihatan yang berkesan untuk meredakan kesakitan dan mencapai pemulihan awal ke tahap maksimum dan meningkatkan kualiti rawatan dengan mempercepatkan proses pemulihan serta mempromosikan kesihatan yang bermutu, cekap dan profesional dengan sikap penyayang dan nilai-nilai murni.

Konvensyen ini adalah sebahagian daripada Annual Productivity and Innovation Conference and Exposition (APIC) 2015  anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Konvensyen Kecemerlangan Berpasukan Peringkat Kebangsaan disertai oleh pasukan terbaik dipilih di antara pemenang  pada peringkat wilayah.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 905

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024