USM SUMBANG KOMPUTER, CERIAKAN PELAJAR TERKESAN BANJIR 2014
PULAU PINANG, 5 November 2015 - Kor Sukarelawan dan kakitangan Universiti Sains Malaysia (USM) memberi sumbangan sejumlah 20 unit komputer kepada Sekolah Kebangsaan Pasir Tumbuh Gua Musang, Kelantan semalam menceriakan pelajar sekolah tersebut dalam Ops Komputer.
Menurut Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPPA), Dr. Nazarudin Zainun, operasi ini merupakan program sukarelawan berterusan ekoran banjir besar yang melanda Kelantan pada tahun lalu.
"USM mempunyai lima operasi untuk banjir itu sahaja iaitu Ops Balik Kampung, Ops Pencucian, Ops Kumbahan, Ops Mengecat dan Ops Komputer," kata Nazarudin.
Anggaran kos sumbangan komputer ini mencecah hampir RM 90,000 yang kesemuanya dilakukan melalui kepakaran kakitangan Pusat Pengetahuan Komunikasi dan Teknologi (PPKT) USM.
Menurutnya lagi, misi bantuan Ops Komputer tersebut diketuai oleh pensyarah dari Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan USM, Profesor Dr. Abu Hassan Abu Bakar.
Penolong Pengarah Kanan, BHEPPA Zulkifli Che Hussin pula berkata, melalui operasi ini, USM telah memberi keceriaan kepada pelajar sekolah tersebut yang berada jauh di kawasan pedalaman yang jaraknya lebih kurang 60 kilometer dari bandar Gua Musang.
Zulkifli, 36 menganggap operasi kali ini telah memberi kesedaran kepada diri sendiri terhadap kesusahan orang lain dan berharap sumbangan ini memberi motivasi tinggi kepada pelajar sekolah tersebut untuk belajar bersungguh-sungguh dan berjaya pada masa hadapan.
Wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM Rasis Muhamad Rosdi, 22, menceritakan bahawa keadaan di sekolah tersebut masih kelihatan terkesan banjir tahun lepas akibat daripada air banjir mencecah hingga paras tingkat tiga.
Jelasnya pihak sekolah agak cemas kerana musim banjir dijangka datang kembali dan berharap sangat agar jika pun berulang, tidak akan seteruk yang dihadapi seperti banjir tahun lepas.
Rasis berharap pihak yang bertanggungjawab dapat memberi bantuan yang sewajarnya bagi memudahkan segala proses pembelajaran di sana.
Teks: Zamani Abdul Rahim
- Created on .
- Hits: 890