USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

RAWAT MASALAH KESUBURAN MELALUI BAYI TABUNG UJI

IMG 20151105 WA0023

KUBANG KERIAN, 5 November 2015 – Bayi tabung uji atau lebih dikenali sebagai In Vitro Fertilization (IVF) merupakan satu cara rawatan masalah kesuburan yang ternyata berkesan.

Ia merupakan proses di mana benih wanita yang diambil daripada ovari untuk disenyawakan dengan benih lelaki di atas piring petri kaca di makmal.

Hanya pasangan yang tidak mempunyai benih lelaki atau benih wanita tidak boleh menerima kaedah rawatan ini.

Kaedah kelahiran bayi tabung uji mempunyai kejayaan sekitar 20 hingga 25 peratus.

Lebih kurang 2 peratus daripada bayi-bayi di Malaysia telah dilahirkan melalui kaedah ini.

Pensyarah Perubatan Kanan, Jabatan Obstetrik & Ginekologi, Profesor Madya Dr. Adibah Ibrahim berkata, pasangan yang sesuai mendapatkan rawatan ini adalah mereka yang mempunyai masalah kesuburan.

"Ini turut merujuk kepada wanita yang mempunyai masalah saluran peranakan tersumbat dan mereka yang bermasalah menghasilkan telur walaupun telah mencuba pelbagai jenis ubat tetapi masih gagal untuk hamil selain masalah kesuburan yang berpunca daripada lelaki", katanya ketika ditemubual dalam satu rancangan bersama radio tempatan di sini pagi tadi.

Umur merupakan faktor penting dalam mempengaruhi kejayaan rawatan ini. Had umur biasa mestilah tidak melebihi 45 tahun. Bagi mereka yang berumur agak meningkat memungkinkan peluang mereka untuk berjaya agak rendah.

Tambah Adibah rawatan ini meliputi pelbagai kaedah yang perlu dipatuhi oleh setiap pasangan semasa mendapatkan rawatan.

"Pada peringkat awal, ubat suntikan perangsang penghasilan lebih banyak telur akan diberikan kepada wanita, setelah telur tersebut matang, ia akan disedut dan diserahkan kepada pakar embrio untuk disenyawakan dengan benih lelaki di makmal.

"Dalam tempoh lima hari, jika terdapat perkembangan elok yang berlaku, barulah janin tersebut akan dimasukkan ke dalam rahim wanita", katanya lagi.

Faktor kejayaan rawatan ini turut dipengaruhi oleh perubahan gaya hidup seharian seperti stres, tabiat merokok dan pengambilan minuman beralkohol atau berkafein secara berlebihan.

"Semua ini akan mempengaruhi kualiti dan pengurangan bilangan sperma yang biasa jumlah biasa yang diperlukan adalah sebanyak dua hingga lima mililiter.

Walau bagaimanapun, proses bayi tabung uji secara keseluruhannya mengambil masa sekitar dua minggu, juga mempunyai risiko seperti terlebih rangsangan ovulasi atau 'ovarian hyperstimulation syndrome' dan kandungan kembar. Keadaan ini boleh mendatangkan masalah kesihatan kepada wanita tersebut.

Tegas Adibah, setiap pasangan diminta supaya tidak malu dan tidak menunggu umur semakin meningkat untuk tampil ke hadapan bagi mendapatkan rawatan atau penyiasatan mengapa seseorang itu tidak boleh mengandung. Sebaliknya mereka perlu segera seawal satu atau dua tahun perkahwinan lagi.

Suami dan isteri juga perlu memberikan komitmen dan saling menyokong antara satu sama lain di samping keluarga kedua-dua belah pihak. Kaedah rawatan bayi tabung uji ini diharapkan dapat memberi sinar harapan kepada pasangan-pasangan yang mengalami masalah kesuburan.

Teks: Mohd Hafiz Yaacob

Foto: Mohd Sabri Hj Salleh

  • Created on .
  • Hits: 2158

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024