PUPUK SEMANGAT KESUKARELAWANAN DALAM KALANGAN PELAJAR
KUBANG KERIAN, 5 Oktober 2015 – Budaya kesukarelawanan di kalangan pelajar perlu disemai dalam usaha melahirkan pelajar yang cemerlang dari segi akademik malah juga dalam menyumbang bakti kepada masyarakat.
Menyedari hal ini, Sekretariat Sukarelawan Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia mengadakan Program "Spray Me for Unity" bertempat di Dataran Pelajar, Pusat Pengajian Sains Perubatan.
Program yang berlangsung buat kali keempat sejak penubuhannya pada tahun 2012 bertujuan menarik minat mahasiswa menjadi ahli sukarelawan.
Yang Dipertua Sekretariat Sukarelawan, Muhammad Juhari berkata, ini merupakan program tahunan dan menjadi medium bagi menarik minat pelajar untuk terlibat sebagai sukarelawan.
"Sebagai penggerak kesukarelawanan dalam kalangan pelajar, kita ingin memberi peluang kepada mereka untuk memupuk semangat bersatu padu melalui pendekatan artistik di mana mereka yang telah mendaftar akan mengecat tangan dengan perkataan "Unity" atau "love earth " serta digayakan dengan pelbagai cara untuk menghasilkan foto yang menarik", katanya ketika ditemui dalam program tersebut.
Hasil foto tersebut akan dipaparkan di laman sesawang Sekretariat Sukarelawan selain digunakan sebagai 'profile picture' peserta bagi tujuan menarik minat orang ramai untuk turut serta dalam aktiviti sukarelawan.
Tambah Muhammad, sekretariat ini dapat menguruskan aktiviti-aktiviti kesukarelawanan dalam kalangan pelajar di samping mengadakan kolaborasi bersama agensi luar.
"Antara aktiviti terkini yang dijalankan adalah seperti kerjasama dengan Unit Perubatan Transfusi Hospital USM dalam Kempen Derma Darah Pra Monsun, selain kolaborasi bersama IM4U bagi program 'Volunteers Malaysia' seperti yang berlangsung di Pasar Siti Khadijah pada September lalu iaitu 'Public Up Movement' bagi menceriakan pasar tersebut," ujar beliau lagi.
Selain itu, melalui kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, sekretariat ini juga turut terlibat memberi bantuan kepada mangsa banjir ketika Kelantan dilanda Banjir Kuning yang teruk pada Disember 2014 yang lalu.
Muhammad turut berharap, sekretariat ini akan terus berkembang maju dan menjadi penggerak kepada aktiviti kesukarelawanan di samping memupuk semangat bersatu padu dikalangan mahasiswa dan mahasiswi tanpa mengira agama, bangsa, dan ideologi dalam menyumbang kepada mereka yang memerlukan.
Teks/Foto: Mohd Hafiz Yaacob & Abdul Aziz Latif
- Created on .
- Hits: 2718