GALAKSI R-3 NAIB JOHAN KONVENSYEN KECEMERLANGAN BERPASUKAN KEBANGSAAN 2015
PULAU PINANG, 5 November 2015 – Kumpulan Galaksi R-3 daripada Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi Naib Johan dengan dianugerahi emas tiga bintang dalam Konvensyen Kecemerlangan Berpasukan Peringkat Kebangsaan 2015 kategori Sektor Awam melalui projek Medi-Bike Exerciser.
Medi-Bike Exerciser merupakan alat senaman gabungan untuk anggota atas dan anggota bawah supaya aktiviti senaman boleh dijalankan serentak yang mesra pengguna, mudah alih, mampu milik dan telah diperakui selamat digunakan terhadap pesakit dan pengguna lain.
Ketua Kumpulan Galaksi R-3, Muhammad Akasyah Baharum berkata, idea ini terhasil berdasarkan statistik pesakit yang diperolehi, menunjukkan peningkatan dalam membantu pesakit berbanding dengan sistem pengurusan pesakit sedia ada yang tidak sejajar dengan prinsip pengurusan Lean.
“Banyak proses rawatan mengambil masa yang lama yang membebankan pesakit dan staf unit di sini menyebabkan proses pemulihan menjadi lambat, maka sesuatu perlu dilakukan agar kecekapan unit kami sejajar dengan misi Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM dapat dipertingkatkan,” katanya.
Dengan terciptanya alat ini, masa rawatan berjaya dikurangkan dengan mengekalkan kualiti rawatan yang sama, lebih ramai pesakit dapat menjalani rawatan, pemulihan yang lebih cepat, dan strukturnya yang ringkas serta boleh dilaras mengikut kedudukan dan ketinggian pesakit bukan sahaja dapat memberikan keselesaan kepada pesakit tetapi juga dapat mengekalkan postur tubuh badan yang ergonomik.
Muhammad Akasyah berkata, pasukannya amat bersyukur dengan kemenangan ini yang merupakan kejayaan terbaik USM apatah lagi Galaksi R-3 menjadi kumpulan pertama daripada USM yang menjadi Naib Johan untuk kategori sektor awam.
“Kami juga layak mewakili Malaysia untuk ke peringkat antarabangsa dan kami merancang untuk memperluaskan penggunaan inovasi ini yang akan menitikberatkan “clinical research” dan yang paling penting untuk membudayakan pemikiran kreatif dalam menyelesaikan masalah di unit kami khasnya serta IPPT amnya,” ujar Jurupulih Perubatan ini.
Unit Rehabilitasi IPPT berperanan memberi perkhidmatan perawatan dan pemulihan kesihatan yang berkesan untuk meredakan kesakitan dan mencapai pemulihan awal ke tahap maksima dan meningkatkan kualiti rawatan melalui mempercepatkan proses pemulihan serta mempromosikan kesihatan yang bermutu, cekap dan profesional dengan sikap penyayang dan nilai-nilai murni.
Konvensyen ini adalah anjuran bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 765