USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

JALINAN UKHWAH WARGA USM ANTARA YANG TERBAIK – MANTAN KETUA PUSTAKAWAN

 DSC8510gcvk

PULAU PINANG, 5 November 2015 – Jalinan ukhwah dan konsep bekerja bersama-sama yang diamalkan oleh warga Universiti Sains Malaysia (USM) adalah antara memori yang paling sukar dilupakan, apatah lagi setelah 30 tahun bersama mengerah keringat untuk mambangunkan USM.

Mantan Ketua Pustakawan USM, Mohd. Pisol Ghadzali berkata, hubungan erat yang dijalin bukan sekadar di peringkat jabatannya malah ia merangkumi semua peringkat termasuk pengurusan tertinggi Universiti.

Katanya, beliau amat bertuah diberi kesempatan menyumbang bakti kepada menara ilmu kedua tertua di negara ini dan telah bersama-sama menaikkan imej Perpustakaan USM sebagai antara yang terbaik di negara ini.

Mohd. Pisol berkata, antara pengalaman yang paling tidak boleh dilupakan adalah saat di mana Universiti terpaksa mengurangkan peruntukan kepada Perpustakaan ekoran kekangan kewangan yang mendesak perbelanjaan berhemah.

“Perpustakaan terpaksa memberhentikan langganan terhadap satu pangkalan data yang sememangnya melibatkan kos yang agak tinggi. Ekoran daripada tindakan itu, PHS menerima tamparan yang cukup hebat daripada pelbagai pihak khususnya pelajar dan ahli-ahli akademik,’’

“Bukan hanya saya, namun kakitangan saya juga bertubi-tubi diasak dengan pelbagai persoalan daripada para pelanggan tanpa mengira waktu, ibarat kata di mana ada warga Perpustakaan di situ juga kami akan diaju pelbagai pertanyaan mengenai isu itu,’’ katanya lagi.

Tambah beliau, masalah itu amat menghantui beliau namun berkat mengamalkan konsep bekerjasama dalam apa jua hal, perkara itu akhirnya telah berjaya diatasi, malah PHS tampil dengan langkah paling efektif untuk mendapatkan informasi yang diperlukan pelanggannya.

Mohd. Pisol berkata, tiada istilah jemu dalam menunaikan tanggungjawab sebagai seorang pustakawan malah beliau berbangga kerana sejak mula bertugas sehingga akhirnya menjadi Ketua Pustakawan, banyak ilmu yang ditimba dan banyak juga pembaharuan yang berjaya diimplementasikan.

“Saya telah bersama-sama warga PHS menjalankan usaha penjimatan kos sehingga RM 1.5 juta melalui pengurusan efektif dan memperkenalkan sistem pengurusan perpustakaan yang mantap dan turut menarik minat pihak luar untuk menggunapakai kaedah yang sama.

“Saya turut menggalakkan staf untuk menukar set minda global dan ramai juga staf diberikan motivasi untuk membentangkan kertas kerja di peringkat antarabangsa melalui pemupukan bakat dan sehingga kini telah lebih daripada 20 staf PHS berjaya melakukannya,’’ katanya.

Beliau juga berharap, PHS dapat merealisasikan Plan Pembangunan Strategik PHS yang telah diusahakan bersama keseluruhan warga PHS, yang antara matlamat utamanya ialah menjadikan PHS antara perpustakaan yang tersohor sehingga ke persada antarabangsa.

Beliau berkongsi pengalamannya ketika ditemubual MPRC selepas majlis meraikan persaraannya di sini baru-baru ini. Hadir sama ke majlis tersebut ialah Pemangku Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (TNC) Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, TNC Bhagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein, ketua-ketua jabatan dan sebagainya.

Muhamad dalam ucapannya berkata, Universiti menghargai keringat dan jasa yang telah dilakukan oleh Mantan Ketua Pustakawan tersebut dan kejayaan yang dicapai PHS pada hari ini banyak bergantung kepda kepimpinan tinggi yang ditunjukkan beliau.

Serba sedikit mengenai latar belakang Mohd. Pisol, beliau ialah graduan Universiti Sains Malaysia dengan kelulusan B.Sc. (Hons) tahun 1983 dalam jurusan Sains Biologi. Pada tahun 1998, beliau memperolehi Diploma Ijazah Lanjutan dalam Sains Perpustakaan daripada Universiti Teknologi MARA.

Beliau memulakan karier sebagai Penolong Pustakawan di Perpustakaan USM mulai tahun 1983. Pada tahun 1998 beliau dilantik sebagai Ketua Unit Pinjaman Antara Perpustakaan dan Refrografi dan kemudian dilantik sebagai Ketua Bahagian Perkhidmatan Media pada tahun 2000.

Pada tahun 2003, beliau telah dilantik untuk mengetuai Perpustakaan Kampus Kejuruteraan dan kemudian dilantik sebagai Timbalan Ketua Pustakawan pada tahun 2007. Pada masa ini, beliau adalah merupakan Ketua Pustakawan Perpustakaan USM.

Di peringkat antarabangsa pula, beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Sekreteriat AUNILO sehingga tahun 2017. Beliau juga merupakan Ahli Jawatankuasa Amalan Terbaik Di antara IPTA di Malaysia.

Beliau pernah membentangkan beberapa kertas kerja di persidangan kebangsaan dan antarabangsa dan pernah dilantik sebagai Perunding dalam projek pembangunan Perpustakaan bagi beberapa Perpustakaan di Malaysia.

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 787

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024