USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELAJAR BAHARU DIWAJIB MENDUDUKI READS

PULAU PINANG, 4 November 2015 – Semua pelajar baharu Saluran Perdana kemasukan 2015/2016 Universiti Sains Malaysia (USM) diwajibkan menduduki semula ujian Reading Evaluation and Decoding System (READS) secara atas talian dengan melayari laman web reads.usm.my.

Manakala seramai 600 orang lagi pelajar bagi Saluran Perdana  2015/2016 yang masih belum menyempurnakan Profil Higher Education Potential Inventory (HEPI) masing-masing dalam sistem online.  Mereka perlu berbuat demikian sebelum menduduki semula ujian READS melalui laman sesawang hepi.usm.my.

Semua pelajar diwajibkan menduduki READS, tetapi mereka tidak perlu menduduki lagi HEPI sekiranya sudah berbuat demikian.

Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP), Profesor Dato’ Dr. Abdul Rashid Mohamed meminta kerjasama semua  dekan pusat pengajian memastikan HEPI disempurnakan oleh pelajar untuk tujuan integrated Cumulative Grade Point Average (iCGPA).

“READS merupakan satu inisiatif yang diperkenalkan oleh PPIP  USM dalam menilai penguasaan bacaan pelajar melalui ujian yang dijalankan selama 70 minit yang terbahagi kepada tiga sub kemahiran iaitu literal, penyusunan semula dan inferens dengan setiap pelajar perlu menjawab 10 teks berbeza genre dan 60 soalan aneka pilihan,” kata Abdul Rashid.

Tambahnya lagi, HEPI pula merupakan alat yang dibangunkan oleh penyelidik USM bagi mengukur pencapaian pelajar secara holistik yang merangkumi pencapaian akademik dan pencapaian lain seperti afektif, sosial dan tingkah laku.

“HEPI boleh berfungsi sebagai proses saringan dan juga bagi mengenalpasti perkembangan potensi seseorang pelajar untuk menghasilkan individu yang berpengetahuan, berkemahiran dan berketerampilan secara holistik dan seimbang selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan aspirasi USM,” jelasnya lagi.

HEPI mempunyai 90 item dan boleh mengukur potensi pelajar secara manual dan secara atas talian. Secara atas talian, HEPI mempunyai 480 set item yang berbeza untuk dijawab oleh para pelajar.

Sistem atas talian atau online untuk HEPI dan READS dibuka pada 17 hingga 20 November 2015 iaitu Selasa hingga Jumaat dengan kemudahan makmal komputer akan disediakan di setiap pusat pengajian sekiranya pelajar tidak memiliki komputer atau kemudahan internet.

Teks: Syuhada Abd Aziz

  • Created on .
  • Hits: 1571

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024