BAJET 2016: MASIH ADA RUANG UNTUK PENAMBAHBAIKAN – AHLI AKDEMIK USM
PULAU PINANG, 3 Nov. 2015 – Pembentangan bajet oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini telah mendapat pelbagai reaksi masyarakat, termasuk daripada pakar-pakar ekonomi dan ahli akademik institusi pengajian tinggi negara.
Akademia Universiti Sains Malaysia (USM) yang berkepakaran luas dalam bidang ekonomi sektor awam, Profesor Suresh Narayanan berpendapat, masih banyak ruang untuk penambahbaikan masa hadapan khususnya dalam isu-isu penting yang disifatkan mencabar ekonomi negara.
Beliau berkata, antara yang perlu diberi perhatian lebih terperinci adalah dalam menangani kelemahan ringgit yang menjejaskan eksport negara (kerana kandungan import yang tinggi) dan menjejaskan kuasa beli rakyat.
“Saya juga melihat tiada langkah untuk menangani kelembapan sektor pembuatan yang masih terperangkap dalam aktiviti tambah nilai yang rendah dan tindakan terhadap isu pembaziran dan rasuah,’’ katanya.
Pun begtu katanya, berkemungkinan besar perkara-yang dinyatakan tidak diberi perhatian khusus disebabkan tumpuan pemimpin negara kini lebih menjurus kepada beberapa isu hangat yang memberi kesan langsung kepada masyarakat.
Katanya, rakyat kini terbeban dengan kenaikan kos sara hidup dan perasaan tak puas hati terhadap pengimplimentasian cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
“Daripada perspektif ini, bajet 2016 telah mengambil beberapa tindakan simbolik untuk mengurangkan beban rakyat seperti menambahkan bayaran BRIM, menaikkan pelepasan kepada pembayar cukai pendapatan dan sebagainya.
“Ini semua adalah langkah-langkah jangka pendek yang mungkin beri kesan baik serta-merta kepada rakyat, tetapi tidak berkesan untuk menatasi masalah asas yang dialami oleh ekonomi kita,’’ ujarnya.
Beliau turut bersetuju dengan pemberian status ‘kadar sifar” kepada banyak lagi jenis ubat-ubatan dan berpendapat ia akan dapat mengurangkan beban rakyat terhadap GST.
Mengulas berhubung kesan kepada USM dalam pengurangan peruntukan tahunannya, beliau berkata, perkara itu akan menggalakkan semua pihak untuk mengkaji semula bagaimana wang dibelanjakan dengan objektif mengurangkan pembaziran.
“Jika penilaian semula ini berlaku, ini boleh dianggap sebagai satu perkara yang cukup baik. Sebagai contoh, peruntukan untuk penyelidikan dan biasiswa adalah baik.
“Tetapi adakah peruntukan untuk perkara ini dibelanjakan dengan bijak? Mungkin ada wang yang dibelanjakan untuk projek-projek yang tidak membawa sebarang hasil atau faedah,’’ katanya yang juga pakar dalam bidang ekonomi buruh dan pembangunan.
Suresh juga berkata, jika pemotongan peruntukan berkenaan memaksa semua universiti awam untuk meminimumkan pembaziran perbelanjaan, ia dianggap sebagai satu langkah yang tepat dan perkembangan itu bukan sebagai satu perkara yang negatif.
Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 1488