USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERTANDINGAN DEBAT PERPADUAN IPT BERPRESTIJ

PULAU PINANG, 3 November 2015 – Pertandingan Debat Perpaduan Antara Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang kali ke-10 menyaksikan untuk pertama kalinya pasukan debat Universiti Sains Malaysia (USM) melangkah ke pentas akhir bersama-sama Universiti Teknologi Mara (UITM) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP).

Pertandingan ini dianjurkan oleh Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional Jabatan Perdana Menteri bersama-sama Universiti Sains Malaysia (USM) dan Sekretariat Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM) bermula 30 Oktober lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Jabatan Perdana Menteri, Gandesan A/L Letchumanan berkata, pertandingan ini bertujuan untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai satu wadah untuk memupuk dan meningkatkan perpaduan dalam kalangan pelajar IPT.

“Penyertaan melibatkan pelbagai kaum sebagai platform untuk mengalakkan interaksi dan membina hubungan akrab dalam kalangan peserta dengan usul yang didebatkan menjurus ke arah usaha untuk meningkatkan perpaduan dan semangat integrasi,” jelasnya.

Tambahnya lagi, inisiatif ini perlu disokong dalam memberi peluang kepada generasi muda meningkatkan keyakinan diri dalam kemahiran komunikasi dan pengucapan awam di samping membudayakan usaha berbalas hujah secara rasional dengan menggunakan saluran yang betul,” tegasnya.

Debat kali ini membawa kelainan apabila menggunakan format ala Parlimen British dengan empat pasukan berdebat sekaligus iaitu dua daripada pasukan kerajaan pembuka dan penutup dan dua daripada pasukan pembangkang pembuka dan penutup.

“Keupayaan 120 pelajar daripada 60 buah pasukan pelbagai universiti awam dan swasta, Politeknik dan Institut Perguruan seluruh negara yang menyertai pertandingan ini membincangkan pelbagai topik khusus berkaitan perpaduan memang mengkagumkan,” kata Gandesan.

Timbalan Naib Canselor bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA) USM, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein pula berkata, Debat Perpaduan ini diharap menjadi wahana kepada semua bagi memahami dengan jelas isu-isu perpaduan tanpa prejudis.

“Bagi pendebat, ia merupakan satu aktiviti yang mengasah bakat dari segi pemikiran kritis dan analitikal, di Amerika Syarikat misalnya, kebanyakan pasukan debat terdiri daripada pelajar jurusan komunikasi ataupun pengajian Bahasa Inggeris sedangkan di Malaysia fenomena agak berbeza apabila pelajar yang berminat dengan debat ini tidak semestinya datang daripada kedua-dua bidang pengajian ini tetapi daripada pelbagai bidang turut menyertainya,” katanya.

Tegas Adnan, debat yang menfokuskan kepada isu perpaduan ini mampu mengupas pelbagai isu melibatkan pelbagai kaum dan latar belakang, agama dan sejarah yang berbeza untuk kita berbincang dan berdebat secara sihat.

Universiti Teknologi Mara (UITM) muncul sebagai juara mengalahkan tiga buah universiti lain iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di tempat kedua, Universiti Teknologi Petronas (UTP) di tempat ketiga dan USM di tempat keempat masing-masing membawa pulang piala invidivu, wang tunai dan sijil.

Selaku juara, pasukan UITM membawa pulang Piala Pusingan, wang tunai RM5,000, trofi invividu dan sijil, manakala Mohd Johan Mat menerima tambahan wang tunai RM500 selaku Pendebat Terbaik Pertandingan Akhir Debat Perpaduan.

Mengulas mengenai kejayaan ini, Mohd Johan, 21, pelajar tahun dua Fakulti Undang-Undang berkata, kejayaan ini sangat bermakna kepada pasukan kerana saingan sengit yang diberikan oleh semua pasukan yang bertanding. Kejayaan ini juga meneruskan legasi UITM dalam melahirkan pendebat terbaik.

“Persiapan sebelum memasuki pertandingan dilakukan lebih awal termasuk latihan khusus ‘outdoor’ bagi memberi lebih keyakinan kepada peserta selain kerjasama yang diberikan oleh rakan sepasukan,” tambahnya.

Rakannya, Mohd Shahrin Md Idris, 21, berkata, belajar dan memperbaiki kelemahan semasa kalah di pusingan pertama membolehkan mereka berjaya mengatasi kelemahan yang telah dikenalpasti.

“Tidak kenal erti putus asa merupakan resepi kejayaan kami untuk memenangi pertandingan ini selain sentiasa membuat penyelidikan dan banyakkan membaca sebagai persediaan,” kata pelajar semester ketiga jurusan Pentadbiran Sains UITM ini yang turut dinobatkan pendebat terbaik keseluruhan yang membawa pulang wang tunai RM500.

Bagi pendebat dari USM, Chong Soon Seng, 23, walaupun tidak berjaya merangkul juara, namun pengalaman menyertai pertandingan sebesar ini membawa kenangan manis untuknya.

“Walaupun tidak menjadi juara namun saya berpuas hati apabila USM dapat memasuki peringkat akhir buat kali pertama dan kami banyak menjalankan latihan intensif bersama-sama penasihat Kelab Debat USM, En. Nazru Ismail yang banyak memberi tunjuk ajar kepada pendebat USM,” kata pelajar tahun empat Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan ini lagi.

Yang hadir sama menyaksikan pertandingan akhir Debat Perpaduan ini ialah Setiausaha MADUM, Dr. Mazleena Mohamad Hussain, Timbalan Naib Canselor HEPA Universiti Malaysia Perlis, Profesor Madya Dr. Mohd Fo'ad Sakdan, Timbalan Naib Canselor HEPA Universiti Malaysia Sarawak, Profesor Dr. Mohd Fadzil Abd Rahman dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Profesor Madya Dr. Izaidin Abdul Majid serta pegawai-pegawai tertinggi universiti.

Teks: Syuhada Abdul Aziz

  • Created on .
  • Hits: 1840

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024