USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

WARGA USM KONGSI ILMU ICT BERSAMA ORANG ASLI

kusisdari

PULAU PINANG, 2 November 2015 - Kumpulan Siswa Siswi Darul Ridzuan (KUSISDARI) Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia (PTPM)  mengadakan Program Libatsama Universiti-Komuniti bersama masyarakat orang asli di Sekolah Kebangsaan Batu 7, Tapah, Perak Darul Ridzuan pada 30 Oktober 2015 hingga 1 November 2015.

Pensyarah PTPM yang juga Penasihat KUSISDARI Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya berkata, Program Libatsama Universiti-Komuniti ini merupakan acara tahunan KUSISDARI dan PTPM sebagai sebahagian dari  pemindahan ilmu pengetahuan dalam  ICT atau lebih dikenali sebagai Student Knowledge Transfer Programme (SKTP) kepada komuniti terutamanya yang berada di kawasan luar bandar.

“Siri 1 hingga 7 Program Libatsama Universiti-Komuniti ini telah mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dan pada 15 Ogos 2015, memenangi Anugerah Cemerlang UCTC bagi Teknologi dan ICT,” kata Wan Ahmad yang mengetuai projek tersebut.

Program Libatsama Universiti-Komuniti ini disertai oleh 32 orang pelajar Universiti Sains Malaysia dan 7 orang staf daripada PTPM yang turut mengadakan sukaneka dan motivasi kepada para pelajar.

Menurut Yang Dipertua KUSISDARI, Akmal Ariffin, 23, Program Libatsama Universiti-Komuniti di Sekolah Kebangsaan Batu 7 ini merupakan siri yang ke-8 dan sebelum ini, KUSISDARI pernah melaksanakan program di beberapa sekolah orang asli di sekitar negeri Perak juga seperti Sekolah Kebangsaan RPS Pos Kemar, Gerik, Sekolah Kebangsaan Pos Perwor, Sungai Siput, dan Sekolah Kebangsaan RPS Banun, Gerik.

“Objektif program bertujuan untuk memindahkan ilmu teknologi ICT dengan mengajar modul-modul pengkomputeran seperti Microsoft Word, Microsoft Excel, teknik mengambil gambar, dan ‘edit’ gambar menggunakan perisian Picasa kepada golongan terkebawah (bottom billion) iaitu masyarakat orang asli ini selain program ini juga bertujuan mewujudkan jaringan kerjasama serta penglibatsamaan antara universiti dan komuniti masyarakat orang asli di Malaysia khususnya di negeri Perak Darul Ridzuan,” kata pelajar dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan tersebut.

Tambah Akmal, para peserta membantu kira-kira 40 orang pelajar sekolah dan 32 orang dari  Kelas Dewasa Anak Penan (KEDAP) termasuk Tok Batin di samping 16 orang yang datang dari beberapa kampung di kawasan Tapah untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dalam ICT.

KEDAP merupakan kelas untuk golongan dewasa yang sering mendapat latihan dan bimbingan ICT oleh kerajaan yang merupakan ibu-bapa kepada pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Batu Tujuh, Tapah.

“Program ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran tentang pentingnya ilmu ICT dan  kemahiran ini untuk peningkatan tahap kualiti hidup dan sosio-ekonomi masyarakat orang asli supaya mereka setanding dengan masyarakat luar,” tambahnya lagi.

Akmal juga berharap Program Libatsama Universiti-Komuniti ini menjadi pencetus aspirasi kejayaan dalam melahirkan masyarakat yang bermotivasi tinggi, intelektual dan membangun dari segi sahsiah dan modal insan.

“Kami dari KUSISDARI sangat menghargai idea asal dari penasihat Wan Ahmad dalam menabur bakti kepada masyarakat seperti orang asli ini dan akan berusaha meneruskannya pada masa hadapan,” kata Akmal.

Tambah Akmal, pihaknya bersyukur dengan maklumbalas dari para peserta yang  menganggap program ini merupakan peluang terbaik untuk mereka menambah ilmu pengetahuan dalam aspek teknologi dan ilmu ICT  kerana sekiranya ingin mendapat latihan ICT daripada pihak luar, mereka akan dikenakan bayaran tinggi yang di luar kemampuan mereka.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

Foto: KUSISDARI USM

  • Created on .
  • Hits: 1140

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024