USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEJOHANAN KARATE BUDOKAN TARIK 150 PESERTA

 DSC8210hb

PULAU PINANG, 1 November 2015 - Kejohanan Karate Budokan Universiti Sains Malaysia (USM) anjuran Pelajar Tanpa Asrama (PETAS) dan Kelab Karate USM yang diadakan di Kompleks Belia dan Sukan hari ini berjaya menghimpunkan 150 orang peserta yang terdiri daripada ahli Persatuan Karate Budokan Pulau Pinang termasuk mahasiswa USM Kampus Induk dan Kampus Kejuruteraan.

Pengarah program, Mahmoud M.M Atteyat, 24, yang juga merupakan mahasiswa ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Pengurusan Operasi) berkata, dua kategori utama iaitu 'kata' dan 'kumite' dipertandingkan pada kejohanan yang masuk tahun keempat ianya dipertandingkan.

 DSC8198gh

"Daripada dua kategori utama itu, dibahagikan pula kepada 22 kategori pelbagai peringkat umur yang merangkumi penyertaan peserta seawal umur 7 sehingga 18 tahun," katanya.

Kategori 'kata' yang lebih kepada persembahan melibatkan teknik, kualiti dan kepantasan pergerakan individu, manakala kategori kumite pula melibatkan pertarungan dua peserta dan pemenangnya ditentukan melalui jumlah kutipan 8 mata maksimum.

 DSC817867

 DSC81475

Tambah bekas juara Kategori Lelaki Terbuka USM pada tahun 2013 ini lagi, penyertaan yang diterima pada tahun ini amat menggalakkan, menunjukkan bahawa sukan ini semakin mendapat tempat bukan sahaja dalam kalangan remaja, malah kanak-kanak di peringkat awal sekolah lagi.

"Saya mengharapkan seni mempertahankan diri ini dapat terus berkembang dan semoga ramai yang mendapat manfaat dan kebaikan dalam mempelajarinya," kata Mahmoud.

 DSC8214hj

Penasihat Kelab Karate USM Sensei Jimmy turut bangga dengan persembahan yang dipamerkan setiap peserta yang bertanding.

"Saya melihat semangat kesukanan yang tinggi dalam diri setiap peserta dan kesemuanya dapat menerima sebarang keputusan dengan hati yang terbuka," katanya.

Nasihatnya lagi, amat penting untuk seseorang tidak cepat putus asa dan sentiasa berusaha memperbaiki dirinya, dan kejayaan pasti jadi milik individu yang sentiasa berusaha itu.

 DSC8194fg

Bagi mahasiswa Sains Farmasi, Tok Swee Tee, 20, penyertaan kali pertama dalam sukan ini sejak mula menceburinya ketika menjejakkan kaki di USM, ternyata tidak sia-sia.

"Sebelum ini saya hanya mempelajari sukan taekwando sejak di bangku sekolah dan kebetulan bila di USM, tergerak hati ingin menambah ilmu dalam bidang seni mempertahankan diri ini," katanya yang muncul johan kategori wanita terbuka USM dalam acara kata dan kumite. Pemenang semua kategori menerima pingat dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh sinsei (guru) masing-masing.

Teks:Mohamad Danial Shahri

Foto: Zamani Abd.Rahim

  • Created on .
  • Hits: 1351

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024