YDP MPPUSM BANTU MOTIVASI ANAK PELADANG
PULAU PINANG, 1 November 2015 – Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) Fahmi Fadzli diberi peluang turut serta membantu memberi motivasi anak-anak ahli Lembaga Pertubuhan Peladang daerah Muar/Ledang/Segamat Johor
yang berusia di antara 15 ke 18 tahun baru-baru ini.
Kem ini diadakan oleh pihak Pertubuhan Peladang kawasan bagi melahirkan anak-anak peladang yang berwawasan dan berketerampilan serta mampu berdaya saing kelak.
“Melalui cara ini saya berpeluang mendengar masalah mereka dan berkongsi pengetahuan serta pengalaman sebagai pelajar universiti terutamanya yang berkaitan melalui slot yang diberi,” kata Fahmi.
Fahmi memfokuskan juga kepada hal-hal yang berkaitan dengan matlamat dan hala tuju yang perlu dicapai oleh anak-anak selepas menamatkan alam persekolahan terutamanya untuk mengajak mereka belajar bersungguh-sungguh untuk kecemerlangan dan membina masa hadapan yang bermakna.
“Saya menceritakan kehidupan dan pengalaman saya di USM dan penglibatan saya dalam pelbagai aktiviti untuk meningkatkan semangat mereka supaya belajar bersungguh-sungguh dalam pelajaran dan memperolehi kejayaan," kata Fahmi.
Kehadiran Fahmi adalah melalui Konsultan Angah Intelektual sebagai salah seorang fasilitator untuk kem dan Kursus Motivasi Anak Ahli Persatuan Peladang 2015 yang berlangsung pada 30 hingga 31 Oktober 2015 di Taman Negara Gunung Ledang, Johor Darul Takzim.
Konsultan Angah Intelektual merupakan sebuah syarikat yang menguruskan motivasi untuk membantu pelbagai kumpulan masyarakat yang memerlukan khidmat sedemikian.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 756