MAHASISWA USM DAN UMP TURUN PADANG BANTU GELANDANGAN
PULAU PINANG, 1 November 2015 – Mahasiswa dua buah universiti iaitu Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) meneruskan lagi projek memberi makanan kepada gelandangan lewat malam semalam yang melibatkan 90 orang pelajar dari dalam kalangan Majlis Perwakilan Pelajar dan Kor Sukarelawanan di KOMTAR dan sekitar Masjid Kapitan Keling Pulau Pinang.
Kerjasama antara dua buah universiti ini adalah bagi mengeratkan lagi ukhwah melalui aktiviti kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa.
Naib Yang-Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USM, Rasis M. Rosdi menyifatkan projek gelandangan ini merupakan bersifat “low cost” tetapi “high impact” kerana kesannya kepada masyarakat gelandangan dan peserta amatlah besar.
“Objektif projek ini adalah untuk melahirkan rasa syukur di dalam diri dan melihat sendiri kesusahan yang dialami oleh golongan gelandangan ini serta meneruskan lagi agenda USM yang mengambil berat terhadap kumpulan terkebawah ini,” tambahnya.
Katanya lagi, peserta yang menyertai projek ini melahirkan rasa kesyukuran dalam diri mereka dan sedar di dunia ini terdapat golongan miskin dan golongan kaya seperti yang dinyatakan di dalam Al-Quran.
“Ada gelandangan yang tidur di tepi-tepi bangunan dan ada juga yang tidur di dalam beca dan ada juga yang mengatakan kepada kami supaya makanan ini diberikan kepada yang lebih memerlukan walhal dia adalah juga gelandangan,” ujarnya yang terharu dengan pandangan tersebut.
Rasis juga berharap projek sebegini dapat diteruskan dan diperhebatkan lagi serta dilestarikan kerana dengan tenaga sukarelawan yang ramai pasti boleh melihat bagaimana semangat ini boleh dikembangkan dalam kalangan mahasiswa merentasi universiti.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 984