USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

WORLD CAFÉ TINGKATKAN KUALITI MODAL INSAN MAHASISWA

 DSC8136fg

PULAU PINANG, 1 November 2015 – Pengenalan Program World Café tercetus apabila Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato’ Dr. Omar Osman meminta bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselornya, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein merombak Modul Pimpin Siswa yang sedia ada supaya ia seiring dengan perkembangan semasa.

Menurut Dr. Nazarudin Zainun, program Pimpin Siswa Lestari (PSL) ini terdiri daripada empat peringkat dari 1 hingga 4 dengan PSL 1 menggantikan modul sedia ada dengan pendekatan perkhemahan kepada program World Café.

  DSC8125vbn

 DSC8127g

“Program World Café memerlukan pelajar tahun pertama USM membuat proposal di dalam kumpulan-kumpulan bagi melaksanakan projek-projek yang berkaitan permasalahan masyarakat dan apa sahaja projek yang memerlukan penyelesaian di dalam kampus dan luar kampus,” katanya.

Tambah Nazarudin, projek-projek yang akan dilaksanakan oleh pelajar ini terbahagi kepada tiga topik iaitu inovasi, keusahawanan dan kelestarian dengan setiap kumpulan tidak melebihi 20 orang boleh memilih untuk melaksanakannya.

“Selepas setiap kumpulan melaksanakan pembentangan proposal dan dikomen oleh para panel, projek-projek terpilih yang baik dan sesuai akan diberi peruntukan dana untuk dilaksanakannya,” jelasnya lagi.

 DSC8129cgn

Sementara itu, fasilitator yang merupakan pelajar dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Khoo Phau Tzen, 21, berkata, terdapat enam siri World Café ini, dan pada hari ini adalah siri yang keempat yang mengumpulkan hampir 24 kumpulan membentangkan proposal projek mereka.

 DSC8133

Bagi pelajar PP Sains Fizik, Nor Hasnidar Mohamad, 20, pula, Program World Café ini adalah satu medium untuk para pelajar tahun pertama memberi idea, menonjolkan diri serta bakat tanpa rasa malu malah membentuk mereka berfikiran positif untuk maju ke hadapan.

Bagi pelajar PP Ilmu Pendidikan, Vinotini Gopi Nathan, 20, berasa bertuah kerana dapat menyertai program sebegini yang disifatkannya sebagai peluang untuk mengenali rakan-rakan baharu dan menggembleng idea bersama-sama berbincang dalam masa sehari untuk disiapkan proposalnya.

 DSC8140gh

Cara perlaksanaan World Café ini ialah setiap kumpulan pelajar dibahagikan sekurang-kurangnya kepada tiga kumpulan (A, B dan C) mengikut topik inovasi (World Café 1), keusahawanan (World Café 2) dan kelestarian (World Café 3) dan semasa sejam pertama, peserta perlu membincangkan tentang setiap perkara yang telah ditetapkan dalam topik yang telah dikhususkan mengikut kumpulan dalam World Café tersebut.

Selepas sejam pertama tamat, peserta kumpulan perlu berpindah kepada World Café seterusnya contohnya kumpulan A yang berada dalam World Café 1 perlu berubah ke World Café 2 yang pada asalnya adalah tempat kumpulan B dan proses ini akan berterusan hingga kepada World Café 3.

12187773 10207842840973338 3500014440350563614 ncghgg

Semalam telah berlangsung perbincangan dan pembahagian kumpulan Program World Café ini di Dewan Utama Pelajar (DUP) dan pada hari ini pembentangan projek oleh kumpulan-kumpulan ini dilaksanakan di Dewan Kuliah SK 3 yang dihadiri lebih 500 orang pelajar tahun satu.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

Foto: Zamani Abd Rahim

  • Created on .
  • Hits: 1404

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024