USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USAHA MARTABATKAN 1BAHASA 1BANGSA 1NEGARA 1MALAYSIA

IMG 0243


PULAU PINANG, 31 Oktober 2015 - Penggunaan bahasa Melayu terus dimartabatkan agar aspirasi 1Bahasa 1Bangsa 1Negara dalam konteks 1Malaysia tercapai dengan jayanya melalui Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2015 peringkat Sektor Pendidikan yang diadakan di Universiti Sains Malaysia kelmarin.

Demikian harapan yang diungkapkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia P. Kamalanathan P. Panchanathan yang berucap mewakili Menteri Pendidikan Malaysia Dato' Seri Mahdzir Khalid.

IMG 0296

Menurut Kamalanathan, kerajaan sentiasa berusaha menjadikan bahasa kebangsaan sebagai wahana perpaduan yang penting bagi menyatupadukan masyarakat majmuk di negara Malaysia ini kerana bahasa Melayu telah memainkan peranan dengan amat baik, praktikal dan berkesan sebagai bahasa perpaduan sehingga dapat mengekalkan permuafakatan dalam kalangan penduduk pelbagai etnik di negara ini.

"Setiap rakyat hendaklah mengenali, mempelajari, memahami, mengamalkan dan menyebarkan bahasa Melayu dengan penuh kasih sayang serta menjiwainya," katanya lagi.

Tambahnya, usaha pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa rasmi urusan pentadbiran dan bahasa perpaduan haruslah mendapat sokongan padu dari setiap anggota masyarakat dengan disertai tahap kesedaran yang tinggi untuk menghormati dan menggunakan bahasa tersebut dalam urusan rasmi kerajaan.

IMG 0259

IMG 0277g

Pun begitu katanya, pemartabatan bahasa kebangsaan dalam pendidikan menunjukkan bahawa bahasa ini mesti digunakan dalam apa-apa tujuan kerajaan, sama ada negara atau negeri, termasuklah apa-apa tujuan penguasaan awam.

"Kelangsungan kedudukan istimewa bahasa Melayu dalam bidang pendidikan pula terus diperkukuh melalui program dan inisiatif baharu serta tindakan yang lebih menyeluruh seperti yang direncanakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025 menerusi Anjakan Kedua iaitu Memastikan Murid Profisien dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris," ulasnya.

Tegas Kamalanathan lagi, Bahasa Melayu melalui pendidikan dapat membuahkan idea kreatif yang boleh mencorak identiti bangsa Malaysia untuk menghasilkan modal insan cemerlang mengikut acuannya sendiri serta pembentukan murid yang fasih dan yakin berbahasa mampu meningkatkan kebolehpasaran mereka dan memaksimumkan peluang kerjaya dalam pasaran global.

IMG 0351

Selaras dengan itu, kerajaan melaksanakan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang bermatlamat untuk melahirkan murid yang dapat menguasai bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dengan fasih dan yakin.

KPM katanya, sentiasa berusaha memperhebat penggunaan bahasa Melayu dan mengambil langkah proaktif dengan menyediakan Perancangan Strategik Memartabatkan Bahasa Melayu 2016-2025 yang bertujuan memastikan peningkatan kompetensi guru bagi menambahkan kecekapan murid dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa di semua sekolah berjalan lancar termasuklah meningkatkan publisiti serta memperkaya khazanah ilmu bahasa Melayu melalui penyelidikan dan inovasi.

IMG 0362yf

IMG 0367hk

Kamalanathan menegaskan pentingnya dilakukan anjakan paradigma dalam memartabatkan bahasa Melayu yang hanya dapat dilakukan melalui pelestarian bahasa Melayu itu sendiri sekaligus mewujudkan rakyat Malaysia yang memiliki jati diri teguh, progresif dan dinamik ke arah negara berpendapatan tinggi.

Bajet 2016 baru-baru ini, Kementerian Pendidikan Malaysia menerima peruntukan sebanyak RM 41.3 bilion untuk Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 manakala sebanyak RM135 juta peruntukan untuk mempertingkatkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Yang hadir adalah Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Gandesan Letchumanan, Timbalan Ketua Setiausaha KPM Dato' Wan Khazanah Ismail, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa USM Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka Profesor Dato' Seri Dr. Md. Salleh Yaapar.

Sambutan ini dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pendidikan Tinggi, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 1486

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024