SAINTIS DISARAN TERUS AKTIF DALAM KAJIAN BERTARAF DUNIA
KUALA LUMPUR, 31 Oktober 2015 - Saintis di negara ini disaran terus komited dalam menjalankan kajian-kajian bertaraf antarabangsa yang mendapat pengiktirafan dunia, termasuk diiktiraf dalam hadiah Nobel pada masa hadapan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Madius Tangau berkata, negara amat memerlukan saintis terkemuka yang dapat memacu ekonomi negara, sekaligus melahirkan tenaga mahir dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI).
Katanya, ekonomi yang dinamik dipacu oleh bakat sedia terlatih dalam STI dan tanpanya, halatuju untuk mentransformasi idea kepada produk, proses mahupun penyelesaian kepada masalah dalam memperbaiki taraf hidup masyarakat sukar untuk dicapai.
"Persaingan dalam memperkasa bakat di peringkat global sedang memuncak dan sekiranya negara mahu cemerlang dalam ekosistem inovasinya, keutamaan perlu diletakkan kepada usaha memperkasa bakat tempatan.
"Tanpa ada bakat yang signifikan di peringkat tempatan, negara akan berdepan kesukaran untuk menarik kolaborasi antarabangsa dalam bidang pembangunan dan penyelidikannya," katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis pengumuman Top Research Scientists Malaysia (TRSM) 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Majlis yang mengiktiraf sumbangan besar saintis negara dalam bidang pembangunan penyelidikan itu anjuran Akademi Sains Malaysia (ASM) dan turut diadakan serentak dengan 8th ASM General Assembly dengan tema "The Role of Academies in A Globalised World".
Madius juga berkata, dalam keadaan semasa yang memperlihatkan perubahan besar kepada kehidupan masyarakat, teknologi yang dapat memperbaiki keperluan asas, meningkatkan taraf hidup, meningkatkan taraf kesihatan dan sebagainya adalah sangat kritikal.
"Malaysia juga perlu menjadi lebih kompetetif dalam keupayaannya melahirkan, menarik minat dan mengekalkan bakat tempatan," katanya.
Tambah beliau, TRSM adalah antara inisiatif yang dijalankan ke arah menyokong teras strategik dalam National Science, Technology and Innovation Policy (NSTIP) 2013-2020.
Dalam pada itu, USM turut meraih nama apabila lima dari saintisnya tersenarai dalam TRSM.
Para penerimanya termasuk pasangan suami isteri dari Pusat Pengajian Teknologi Industri iaitu Profesor Dr. Othman Sulaiman dan Profesor Dr. Rokiah Hashim serta Profesor Ir. Dr. Mohd Omar Ab. Kadir; Profesor Dr. Mohamed Azmi Ahmad Hassali dari Pusat Pengajian Sains Farmasi dan Profesor Ir. Dr. Srimala Sreekantan dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral.
Teks: Marziana Mohamed Alias
Foto: Ahmad Zulman Mohd Zain
- Created on .
- Hits: 908