PENGERUSI LGU, NAIB CANSELOR UCAP TAHNIAH KEPADA 5 PENERIMA TRSM
PULAU PINANG, 31 Oktober 2015 - Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan dan Naib Canselor Profesor Dato' Dr. Omar Osman mengucapkan tahniah kepada 5 orang saintis Universiti Sains Malaysia (USM) yang diiktiraf sebagai Saintis Terbaik Negara "Top Research Scientists Malaysia" (TRSM) oleh Akademi Sains Malaysia hari ini.
Mereka ialah Profesor Dr. Othman Sulaiman, Profesor Dr. Rokiah Hashim dan Profesor Ir. Dr. Mohd Omar Ab. Kadir dari Pusat Pengajian Teknologi Industri serta Profesor Dr. Mohamed Azmi Ahmad Hassali dari Pusat Pengajian Sains Farmasi dan Profesor Ir. Dr. Srimala Sreekantan dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral.
Sehingga kini 26 orang saintis penyelidik USM diiktiraf dalam TRSM.
"Setinggi tahniah kpd semua pemenang dari USM berikutan pengiktirafan saintis terkemuka negara dalam bidang masing-masing yang sudah tentu kejayaan ini memberi motivasi tinggi kepada mereka untuk terus berjaya," kata Zulkefli.
Tambahnya, di samping itu, kejayaan ini menjadi pendorong kepada saintis yang lain untuk menggiatkan penyelidikan masing-masing dan Syabas USM.
Omar pula berkata, USM berbangga dengan kejayaan mereka serta berharap lebih ramai lagi yang akan menyertai TRSM pada masa hadapan.
Menurutnya lagi, kejayaan ini merupakan pengiktirafan besar kepada mereka dan USM yang tentunya akan memberikan impak terhadap usaha penyelidikan dan inovasi di sini yang akan mendorong lebih banyak produk dan rekacipta untuk pembangunan akademik dan pengkomersilan pada masa hadapan.
"USM akan terus berusaha mewujudkan persekitaran yang diperlukan untuk pembangunan penyelidikan dan inovasi pada masa hadapan terutamanya dalam mendorong lebih ramai para saintis dan penyelidik muda untuk meneruskan usaha ini," kata Omar lagi.
Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 815