USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

LIMA PENSYARAH USM DIIKTIRAF SAINTIS TERBAIK NEGARA

87678786

KUALA LUMPUR, 31 Oktober 2015 - Lima orang saintis Universiti Sains Malaysia (USM) diiktiraf sebagai Saintis Terbaik Negara "Top Research Scientists Malaysia" (TRSM) oleh Akademi Sains Malaysia atas sumbangan yang sangat signifikan dalam bidang penyelidikan masing-masing.

Para penerimanya termasuk suami isteri dari Pusat Pengajian Teknologi Industri iaitu Profesor Dr. Othman Sulaiman dan Profesor Dr. Rokiah Hashim serta Profesor Ir. Dr. Mohd Omar Ab.Kadir, Profesor Dr. Mohamed Azmi Ahmad Hassali dari Pusat Pengajian Sains Farmasi dan Profesor Ir. Dr. Srimala Sreekantan dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral.

Mohamed Azmi yang ditemui sangat teruja kerana tersenarai dalam kelompok TRSM dan berharap agar dapat terus menyumbang dalam memacu kecemerlangan USM melalui lapangan penyelidikan.Beliau yang memfokuskan penyelidikan dalam bidang farmasi sosial dan pentadbiran berkata, bidang yang diceburinya sangat signifikan khususnya dalam memacu masa depan polisi farmaseutikal kebangsaan dan serantau.

"USM adalah satu-satunya universiti di negara ini yang mempunyai nic dalam bidang ini dan sehingga kini kita telah melahirkan modal insan berkepakaran dari 14 buah negara seluruh dunia.

"Kita juga telah diiktiraf oleh pelbagai agensi dalam negara dan antarabangsa dalam penyelidikan yang berteraskan polisi farmaseutikal negara dan serantau," katanya.

Othman yang juga Dekan Institut Pengajian Siswazah berkata, kejayaan yang diraih adalah atas usaha semua pihak khususnya USM yang tidak pernah putus menyokong kerja keras penyelidik untuk membangunkan bidang penyelidikan.

Beliau yang berkepakaran dalam bidang Sumber Bio juga berkata, banyak yang boleh diteroka dalam menjalankan kajian yang dapat meningkatkan penggunaan sumber bio untuk manfaat komuniti dan menjana kekayaan negara.

"Buat masa ini saya sedang menumpukan kajian terhadap potensi kelapa sawit dan secara amnya banyak manfaat yang boleh diperolehi darinya.

"Pokok kelapa sawit sangat berguna termasuk daunnya, batang, hampas dan sebagainya. Antara produk akhir yang boleh dihasilkan termasuk kayu, bahan pemanis, pelekat dan sebagainya," katanya lagi.

Turut mengakui potensi bahan biosumber dalam menjana kekayaan negara ialah isterinya, Rokiah yang berharap lebih banyak penemuan dapat dilakukan dalam bidang berkenaan dalam masa terdekat ini.

Yang hadir mewakili Naib Canselor ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM, Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan. Beliau melahirkan rasa bangga dengan kejayaan para penyelidik USM.

"Sehingga kini sejumlah 26 penyelidik USM telah berjaya menempatkan diri dalam kelompok TRSM.

"Kejayaan ini adalah hasil usaha keras mereka dalam menjalankan penyelidikan dan penerbitan berkualiti yang selari dengan hala tuju pembangunan teras penyelidikan Universiti," katanya.Kesemua 14 penerima TRSM 2015 menerima anugerah yang disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Madius Tangau di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pagi ini.

Teks: Marziana Mohamed Alias

Foto: Ahmad Zulman Mohd Zain

  • Created on .
  • Hits: 2432

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024