HIJRAH dR. SAM BERKAT DOA IBU DAN ILMU
PULAU PINANG, 30 Oktober 2015 - Penyanyi Salim Ibrahim atau lebih mesra disapa sebagai dR Sam Rasputin mengakui masih giat mendalami ilmu agama sehingga ke hari ini sebagai penghijrahan diri yang besar.
Penyanyi dR. Sam Rasputin terkenal pada era 70-an dan 80-an terkenal dengan lagu 'Saya Anak Malaysia' yang dinyanyikan bersama Band Rasputin dari Negeri Sembilan yang menyanyikan lagu berentak Reggae dengan pakaian-pakaian mengikut fesyen ala Rasta, Bob Marley.
Hari ini dR. Sam nekad untuk terus istiqamah terhadap usahanya itu demi mencari kebahagiaan di dunia dan akhirat, tampil dengan imej seorang pendakwah dengan membawa mesej-mesej Islam dan keamanan sejagat.
Ketika mengikuti pengajian di luar negara, dR. Sam telah merantau ke beberapa buah bandar utama dunia seperti London dan Paris untuk menyanyi di tepi jalan sebagai pemuzik jalanan dan kerjayanya sebagai seorang artis begitu berjaya.
“Saya akui waktu dalam dunia hiburan apa yang saya buat banyak bertentangan dengan kehendak Pencipta dan tidak takut melanggar larangan-Nya kerana pada masa itu tiada hidayah dan hanya hiburan semata-mata yang menjadi mata pencarian ketika berada di sana,” katanya.
Tambahnya lagi ketika berkongsi kisah hijrahnya kepada kira-kira 100 orang yang mengikutinya di Pusat Sejahtera USM, antara titik awal perubahan ialah apabila Allah SWT pertemukannya dengan guru-guru agama apabila kembali ke tanah air selepas mengembara di bumi asing selama lima tahun.
“Banyak ilmu yang diperolehi semasa proses penghijrahan ini berlaku dan yang paling menyentuh perasaan ialah apabila diri mula sedar dengan merasai keyakinan kepada Allah SWT, percaya adanya Allah SWT tetapi ketika itu hanya percaya tetapi belum kuat keyakinan yang bermaksud percaya itu di akal, dimiliki oleh pemikiran dengan belajar manakala yakin itu di hati, dimiliki dengan tarbiah dan mujahadah,” katanya lagi.
Menurut dr. Sam, doa ibu adalah satu kuasa yang tiada tandingannya dan kesedaran untuk melakukan perubahan berlaku apabila ibu tidak henti-henti untuk berdoa demi kesejahteraan anaknya.
“Dalam melakukan penghijrahan, menuntut ilmu adalah sangat penting untuk kita terus memperbaiki diri iaitu dengan yang pertamanya, semua perkara yang dilakukan haruslah diniatkan hanya kerana Allah SWT, kedua ialah bermujahadah atau bersungguh-sungguh dalam penghijrahan selain beramal soleh, yang tidak cukup dengan hanya beramal tetapi perlu sentiasa berdoa, bukan saja untuk diri sendiri dan keluarga tetapi juga yang berada di sekeliling kita kerana orang yang tidak berdoa adalah orang yang sombong dengan Allah SWT," tambahnya lagi.
Ceramahnya amat menarik untuk dihayati kerana bersungguh-sungguh mengajak kita berdakwah di jalan Allah SWT, dengan mengikuti sunnah-sunnah Nabi Muhammad s.a.w supaya bertakwa kepada-Nya.
Yang turut hadir ialah Pengarah Pusat Sejahtera USM, Dr. Normala Abdul Wahid.
Teks: Syuhada bt Abd Aziz
Foto: Zamani Abdul Rahim
- Created on .
- Hits: 2763