BANGSAWAN PUTERA BAYAN SAKTI JULANG BUDAYA BANGSA
PULAU PINANG, 30 Oktober 2015 – Bangsawan “Putera Bayan Sakti” yang mengisahkan seorang putera yang diturunkan dari kayangan ke bumi, menghadapi pelbagai cabaran serta rintangan lebih-lebih lagi wajahnya bertukar menjadi rupa seekor gajah yang dinamakan sebagai Awang Gajah.
Akhirnya, setelah sumpahannya tamat, Awang Gajah telah bertukar semula menjadi Putera Bayan Sakti yang kacak dan tampan serta berjaya menyelamatkan Puteri Indah Kesuma dari tangan Putera Singgora.
Pengarah Bangsawan Putera Bayan Sakti, Profesor Madya Dr. Samat Salleh berkata, Bangsawan Putera Bayan Sakti ini menghidangkan sebuah persembahan yang unik dan menarik dengan memasukkan unsur-unsur “tasmat” iaitu kesan khas.
“Elemen tasmat yang digunapakai dalam persembahan bangsawan kali ini telah digunakan dalam persembahan bangsawan sejak dari dahulu lagi,” tambah tokoh teater dan pelakon terkenal tanahair itu.
Sementara itu, Penasihat Produksi, Prof. Madya Mohamad Omar Bidin menjelaskan melalui Geran Seni dan Budaya PETRONAS, Universiti Sains Malaysia (USM) akan meneruskan usaha untuk melestarikan teater transisi bangsawan ini untuk tatapan para pelajar.
“Seterusnya melalui usaha ini, ianya dapat melahirkan rasa cinta dan hormat mereka terhadap khazanah budaya Malaysia yang unik dan kaya ini,” kata Dekan Pusat Pengajian Seni USM itu lagi.
Geran Seni dan Budaya PETRONAS digunakan dalam usaha melestarikan khazanah budaya Malaysia bermula dengan penubuhan Kumpulan Seni Persembahan PETRONAS pada tahun 1989.
Geran ini diwujudkan bertujuan membantu persatuan-persatuan yang aktif untuk mengetengahkan lagi persembahan tradisional kepada masyarakat terutamanya generasi muda bagi mendedahkan sekaligus melahirkan rasa cinta dan hormat mereka terhadap khazanah budaya Malaysia yang unik.
Pada 2012, PETRONAS meningkatkan lagi usahanya dengan memberi geran kepada kumpulan-kumpulan seni persembahan di Malaysia dan setakat ini, terdapat 27 kumpulan seni persembahan yang telah menerima geran PETRONAS dengan nilai keseluruhan RM 4 juta.
Antara tenaga produksi untuk bangsawan ini adalah Penulis Skrip Aina Nabila Ahmad, Penolong Pengarah Senibayan, Pengarah Muzik Azmeer, artis Wan Raja, Aida Othman, Hairi Anak Wayang serta ramai lagi dan persembahan bangsawan ini adalah kerjasama antara PETRONAS, Penang Opera, PP Seni USM dan Dewan Budaya USM.
Pementasan Bangsawan Putera Bayan Sakti berlangsung di Auditorium Dewan Budaya USM pada 29 dan 30 Oktober 2015 pada jam 8:30 malam.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1034