SUPSAT 2015 ERAT KERJASAMA ANTARA PUSAT SUKAN IPTA
PULAU PINANG, 30 Oktober 2015 – Kejohanan Sukan Antara Staf Pusat Sukan 2015 (SUPSAT) anjuran Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) bersama Universiti Sains Malaysia (USM) yang bermula hari ini sehingga 1 November ini menyaksikan 20 buah pasukan Universiti Awam (UA) termasuk MASUM berentap dalam 5 jenis sukan.
Menurut Ketua Operasi kejohanan, Lee Chiao Mei, antara sukan yang dipertandingkan di Kampus Induk USM ialah bolasepak, badminton, petanque dan memanah, boling di Kompleks Bukit Jambul selain acara sukaneka dan memancing yang akan diadakan di Pulau Jerejak.
“Acara-acara yang dipilih adalah berbeza mengikut penganjuran tuan rumah pada tahun ianya dilangsungkan, dan pada kejohanan di USM kali ini, kami memilih empat jenis sukan berprestasi tinggi untuk atlit-atlit berentap sesama mereka,” katanya.
Dengan tema ‘Now Everyone Can Play’, seramai 500 atlit akan memeriahkan kejohanan edisi kali ke-3 ini.
“Diharapkan kejohanan ini dapat menjadi platform bagi memperkukuhkan lagi hubungan sesama staf Pusat Sukan antara UA dan secara tidak langsung dapat membentuk satu pasukan yang kukuh dari segi pembangunan dan pengurusan sukan di peringkat antarabangsa.”
“Walaupun pertandingan ini lebih kepada aktiviti riadah, diharapkan juga dapat menjadi medan dalam mencungkil bakat-bakat baru bagi memeriahkan lagi perkembangan sukan di negara kita,” kata Chiao Mei.
Teks: Mohamad Danial Shahri
- Created on .
- Hits: 1061