USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

UNIVERSITI PERLU LAKUKAN TRANSFORMASI MENYELURUH HADAPI CABARAN MASA HADAPAN

PULAU PINANG, 30 Oktober 2015 - Universiti Awam di negara ini perlu membuat transformasi yang menyeluruh supaya dapat mengurangkan kos operasinya dengan meningkatkan kecekapannya di samping dapat meningkatkan hasil pendapatan.

Menurut Pengarah Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN) Universiti Sains Malaysia (USM),  Profesor Dr. Ahmad Nurulazam Md Zain, usaha ini termasuklah peralatan penyelidikan diletakkan sebagai kemudahan untuk semua penyelidik universiti  bukannya setiap penyelidik perlu memilikinya secara persendirian terutamanya yang melibatkan peralatan penyelidikan yang mahal.

Selain itu, staf perlu digalakkan membuat pembelian tiket penerbangan secara atas talian kerana ini akan menjimatkan kos tiket, menguatkuasakan staf supaya tidak menaiki kelas perniagaan untuk penerbangan, mesyuarat yang melibatkan mereka dari luar kampus boleh dilakukan secara sidang video untuk mengurangkan kos perjalanan dan Viva-voce perlu dihadiri oleh pemeriksa sahaja, untuk menjimatkan kos dan juga dapat mempercepatkan proses untuk mengadakan viva. 

Tambahnya, universiti pada masa hadapan perlu mengurangkan pergantungannya kepada kerajaan dan seharusnya diberikan autonomi yang lebih menyeluruh supaya universiti dapat bergerak dengan lebih cepat menangani pelbagai isu termasuklah isu pengurangan bajet ini.

Ahmad Nurulazam yang merupakan pakar dalam bidang  Pendidikan Tinggi dan Pendidikan Sains turut mencadangkan agar beberapa langkah diambil dalam menjana pendapatan:

Lebih aktif dalam perniagaan: Universiti mewujudkan perniagaan misalnya dalam bidang perhotelan dengan kemudahan untuk persidangan antarabangsa, restoran dan juga menerokai peluang perniagaan yang lain supaya dapat meningkatkan hasil pendapatannya.

Model Wakaf: Universiti juga perlu menggunakan Model Wakaf supaya sumber dana lebih lestari dan tidak bergantung kepada kerajaan.

Cukai dalaman: Wujudkan sistem cukai dalaman supaya hasil dapat diagih dan dimanfaatkan oleh universiti.

Perkasakan alumni:  Alumni pula perlu diberikan nafas baru supaya  dapat digerakkan untuk meningkatkan pendapatan universiti dan ianya perlu dilakukan dengan lebih strategik.

Mengurangkan birokrasi: Kurangkan jawatankuasa yang tidak diperlukan (kurangkan mesyuarat terutama sekiranya terdapat pertindihan di antara jawatankuasa). 

Kurangkan Pentadbir:Universiti sepatutnya mempunyai lebih ramai staf akademik bukannya pentadbir. Universiti di negara maju seperti di Jabatan Pendidikan (Department of Education) Universiti Oxford mempunyai hanya 5 orang staf pentadbiran/sokongan sahaja tetapi mempunyai 70 orang staf akademik.

Kurangkan Tempoh Kerja Staf Akademik: Staf akademik hanya bekerja untuk 9 bulan dalam setahun untuk membolehkan mereka melakukan aktiviti lain seperti membuat penyelidikan di luar negara dan sebagainya. Dengan ini universiti dapat menjimatkan kos operasinya termasuklah emolumen dan utiliti seperti elektrik. 

Menurutnya lagi, besar kemungkinan kesan  Bajet 2016 boleh menjejaskan aktiviti penyelidikan  dan ini akan menyebabkan kurangnya penerbitan, paten, produk yang dapat dihasilkan oleh universiti di negara ini. Oleh yang demikian  penarafan (ranking) universiti di peringkat global boleh terjejas memandangkan aktiviti penyelidikan dan outputnya merupakan kriteria yang penting dalam penarafan universiti di peringkat global. 

“Sekiranya isu ini iaitu aktiviti penyelidikan tidak dapat ditangani dengan cepat, akhirnya negara akan kehilangan pelajar antarabangsa yang berminat untuk menyambung pelajaran mereka di peringkat pasca siswazah di universiti yang mendapat penarafan yang baik di peringkat global pada masa ini yang sudah tentu merugikan negara dari segi sumber pendapatannya melalui kemasukan pelajar antarabangsa,” kata Ahmad Nurulazam.

Teks: Mohamad Abdullah 

  • Created on .
  • Hits: 1108

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024